Sepasang kekasih dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku salah melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan Cina, 22 Mac lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, selepas mereka mengaku atas pertuduhan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Kedua-duanya menyebut perkataan 'salah' secara berasingan apabila diminta menyatakan pengakuan mereka.
"Mahkamah mendapati kamu (berdua) bersalah atas kesalahan tersebut. Setelah mengambil kira fakta kes dan kepentingan awam, kamu dengan ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan setiap seorang," katanya.
Kedua-duanya mengaku secara bersama melakukan perbuatan kelucahan melampau di sebuah tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ayer Itam pada jam 8.30 pagi, 22 Mac lalu.
Pertuduhan dirangka mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman di bawah peruntukan tersebut.
Peruntukan itu menjenayahkan perbuatan "kelucahan melampau" antara individu, sama ada di tempat awam atau persendirian, dan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.
Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, R Purantharan, memberitahu mahkamah bahawa tertuduh pertama, Halila, adalah seorang bujang dan tidak bekerja.
"Dia tinggal bersama keluarganya dan keluarganya yang menyara dirinya," katanya.
Manakala untuk Jegathesan, Purantharan berkata tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.
"Dia juga sudah berkahwin dengan dua orang anak dan isterinya sedang menderita akibat angin ahmar. Dia adalah tunggak utama (sole breadwinner) keluarga.
"Kedua-duanya telah mengaku bersalah dan menjimatkan masa serta kos mahkamah daripada perlu melalui perbicaraan. Oleh itu, saya memohon hukuman pemenjaraan yang minimum untuk kedua-dua anak guam saya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang memberi pengajaran sebagai teladan kepada kedua-dua tertuduh serta orang lain agar tidak mengulangi kesalahan serupa pada masa depan.
Beliau juga memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh lelaki tersebut berstatus suami orang.
"Kedua-dua tertuduh juga mempunyai pegangan agama masing-masing yang melarang perbuatan sedemikian. Insiden ini juga berlaku di kawasan awam. Kami memohon mahkamah mengambil kira perkara ini serta kepentingan awam," katanya.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah sekitar jam 8.15 pagi dengan iringan polis dan tangan digari. Kedua-duanya dilihat memakai baju berwarna merah dan seluar biru.
Sebelum ini polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 69 tahun mengenai sebuah video yang memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita berkelakuan tidak senonoh di tanah perkuburan terbabit.
Tertuduh wanita ditahan pada jam 8.35 malam Isnin di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak, manakala tertuduh lelaki ditahan pada jam 11.10 malam di hadapan sebuah bangunan berhampiran Jalan Paya Terubong di Sungai Ara, Bayan Lepas.


EmoticonEmoticon