Khamis, 26 Mac 2026

Kuota RON95 dalam BUDI95 dikurangkan kepada 200 liter sebulan mulai 1 April


Kerajaan akan menyelaraskan kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.


Beliau berkata penyelarasan berkenaan tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna memandangkan data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.


"Kita (sudah) meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi. Kita dapati, purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas.


"Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.


"Langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu," katanya


Beliau berkata demikian dalam perutusan khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini.


Pada masa sama, Anwar menegaskan inisiatif BUDI95 kekal pada harga RM1.99 seliter selain had siling bagi e-hailing dan pekerja gig sehingga 800 liter turut dikekalkan.


"Maka untuk meringankkan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.


"Kita turut kekalkan had siling sehingga 800 liter (bagi pekerja gig dan e-hailing) mengambil kira tanggungjawab mereka, pekerjaan mereka, dan urusan yang mereka harus lakukan," katanya.


EmoticonEmoticon