Pengarah sebuah hospital di Sabah yang didakwa terlibat dengan kes gangguan seksual telah ditukarkan jawatannya sebagai pegawai perubatan biasa di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah sementara menunggu tindakan selanjutnya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan pentadbiran telah diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes tersebut.
"Pertama, siasatan dalaman telah pun dilengkapkan. Tindakan pentadbiran yang diambil antaranya ialah, pengarah tersebut telah ditukarkan daripada jawatan pengarah kepada pegawai perubatan biasa di JKN Sabah sementara menunggu tindakan selanjutnya.
"Laporan rasmi daripada JKN Sabah telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan gred pegawai tersebut yang mempunyai punca kuasa dan autoriti untuk menangani perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2026 Institut Latihan KKM (ILKKM) Zon Sabah, di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu, hari ini.
Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai perkembangan dakwaan gangguan seksual melibatkan pengarah tersebut baru-baru ini.
Dr Dzulkefly dalam pada itu turut menegaskan bahawa KKM tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan dan kebajikan staf.
"Mangsa juga telah diberikan sokongan dan rawatan psikologi sepenuhnya dan telah kembali bertugas dalam persekitaran yang lebih baik," katanya.

EmoticonEmoticon