Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan bergelar Datuk antara tujuh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan Suruhanjaya Siastaan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Turut ditahan pengarah syarikat dan bekas pengarah syarikat yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri serta empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji.
Sumber berkata, semua suspek ditahan secara berperingkat kira-kira jam 3 petang hingga 10.30 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam.
Menurut sumber, suspek pertama iaitu CEO sebuah syarikat perkapalan berusia lingkungan 60-an ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH.
Katanya, ia membabitkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.
"Suspek kedua dan ketiga yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri berusia lingkungan 60-an pula ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan ke sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat akan disenaraikan ke Bursa Saham Malaysia.
"Empat bekas pengurusan kanan TH berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita pula ditahan kerana disyaki terbabit amalan rasuah.
"Perbuatan itu mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat buah hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi berjumlah SR2.49 bilion (RM2.72 bilion) yang menyebabkan kerugian kepada TH," katanya.
Bagaimanapun, sumber berkata, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman.
Katanya, lima lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana mengalami masalah kesihatan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan direman lima hari sehingga 19 Ogos ini selepas perintah dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
"Tahanan reman ini adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI TH yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 16(a)(A) Aktaa SPRM 2009.
Sebelum ini, laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu merekodkan pelbagai kelemahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
Selasa lalu, satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan laporan berkenaan dibentang dan dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat..

EmoticonEmoticon