Sabtu, 28 Mac 2026

Biar parti (UMNO) tentukan saya diterima atau tidak - KJ


"Terserah kepada pucuk pimpinan parti (UMNO), biar mereka tentukan sama ada terima atau tidak," kata Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini susulan pendiriannya menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai parti itu.


Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, berkata beliau tidak mahu mendahului keputusan dibuat kepimpinan tertinggi parti walaupun surat permohonan sudah dihantar pada 16 Mac lalu.


"Saya tidak pasti lagi 100 peratus permohonan diterima atau tidak. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada UMNO untuk putuskan." katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan di Benut, Pontian hari ini.


Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.


Dalam pada itu, mengulas mengenai spekulasi beliau dilaporkan bertanding di Johor, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keutamaannya ketika ini hanyalah untuk kembali sebagai ahli biasa.


"Saya minta jadi ahli biasa dulu, yang lain kemudian. Ini perjalanan pulang ke parti, tak perlu terburu-buru," katanya.


Sementara itu, Khairy menjelaskan kehadirannya ke program rumah terbuka adalah jemputan pertama yang dihadirinya selepas membuat pengumuman untuk kembali aktif dalam UMNO.


"Sumali antara orang penting membawa saya pulang ke UMNO. Beliau menyusun perjumpaan saya dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) jadi saya amat berterima kasih kepadanya," katanya.


Terdahulu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata permohonan beberapa bekas pemimpin termasuk Khairy akan dibawa ke mesyuarat MKT parti pada 17 April ini.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon