Ahad, 29 Mac 2026

Ahmad Maslan syor 7 langkah tangani kenaikan minyak, salah satu naik basikal


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mencadangkan tujuh langkah bagi menangani kenaikan harga minyak, termasuk menggalakkan penggunaan basikal bagi perjalanan jarak dekat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.


Cadangan lain yang turut dikemukakan Ahli Parlimen Pontian itu ialah memperbanyakkan pengeluaran, penjualan dan penggunaan kenderaan elektrik atau EV seperti kereta, motosikal dan bas.


Selain itu, wakil rakyat UMNO tersebut turut mengesyorkan supaya kajian dan pembinaan kilang biodiesel daripada kelapa sawit untuk kegunaan yang banyak dipertingkatkan.


"Untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam menangani kenaikan harga petrol dan diesel, cadangan saya ini boleh difikirkan antaranya memberi insentif kepada carpooling iaitu berkongsi kenderaan ke tempat kerja.


"Cadangan lain ialah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam daripada menggunakan kenderaan sendiri," katanya menerusi hantaran di media sosial semalam.


Ketegangan di Asia Barat kian memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari.


Kesan daripada ketegangan geopolitik itu turut menyaksikan harga minyak melonjak sehingga membuatkan beberapa negara terpaksa mengambil pelbagai langkah drastik bagi mengurangkan tekanan akibat kekurangan bekalan bahan api tersebut.


Ahmad dalam masa sama turut mencadangkan supaya kerajaan mencari laluan import eksport minyak yang tidak melalui kawasan sensitif atau kemungkinan berlaku perang.


Beliau pada masa sama berpendapat, Malaysia juga perlu terus meningkatkan hubungan dagang dengan pelbagai negara yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.


EmoticonEmoticon