Ahad, 29 Mac 2026

Dakwaan Sabah, Sarawak terima 'layanan istimewa' harga diesel tidak tepat - G57


Naratif yang mendakwa Sabah dan Sarawak menerima 'layanan istimewa' berhubung harga diesel lebih rendah berbanding Semananjung adalah tidak tepat serta mengelirukan, kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Sabah (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.


Beliau berkata, diesel bukan sekadar pilihan bahan api, sebaliknya menjadi nadi kehidupan masyarakat terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.


Katanya, penggunaan diesel di Sabah meliputi pelbagai sektor termasuk pengangkutan darat, bot, logistik serta penjanaan elektrik yang menjadi keperluan harian rakyat.


"Hakikatnya, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan yang kekal sekitar RM2.15 seliter bukan satu bentuk keistimewaan, tetapi satu keperluan asas yang tidak boleh dinafikan.


"Di Sabah dan Sarawak, diesel bukan pilihan, ia adalah nadi kehidupan yang digunakan secara meluas untuk pengangkutan darat, bot, sektor logistik serta penjanaan elektrik terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya, keadaan jalan raya di banyak kawasan di Sabah juga masih mencabar yang mana sebahagian laluan tidak berada pada tahap memuaskan sehingga tidak memungkinkan penggunaan kenderaan biasa.


"Ramai rakyat terpaksa bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan diesel sebagai keperluan harian.


"Ini bukan soal pilihan gaya hidup, tapi ini soal keperluan untuk bergerak dan meneruskan kehidupan. Pada masa sama, kos hidup di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi, dengan banyak barangan asas dijual pada harga lebih mahal berbanding Semenanjung," katanya.


Mengulas lanjut beliau berkata, Sabah dan Sarawak bukan sekadar pengguna subsidi, sebaliknya penyumbang utama kepada hasil petroleum negara.


"Bagi tempoh 2018 hingga 2024, hasil petroleum negara dianggarkan mencecah RM775.2 bilion. Daripada jumlah itu, Sarawak menyumbang sekitar RM285.4 bilion, diikuti Semenanjung RM284.8 bilion dan Sabah sekitar RM205 bilion.


"Ini bermakna Sabah dan Sarawak secara keseluruhan menyumbang lebih separuh daripada hasil petroleum Malaysia," katanya.


Bagaimanapun beliau berkata, kedua-dua negeri tersebut hanya menerima sekitar lima peratus royalti petroleum, sedangkan dalam semangat pembentukan Malaysia 1963, terdapat tuntutan agar sehingga 40 peratus hasil dikembalikan kepada negeri-negeri berkenaan.


"Realiti ini jelas menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak telah lama menyumbang besar kepada negara, tetapi masih berdepan jurang dalam agihan hasil.


"Tambahan pula, sumber petroleum di Semenanjung semakin berkurangan, manakala penemuan baharu kini lebih tertumpu di Sabah dan Sarawak, menjadikan kedua-dua wilayah ini sebagai tulang belakang masa depan industri minyak dan gas negara," katanya.


Justeru beliau menasihati orang ramai agar berhenti memainkan sentimen sempit dan mula melihat isu ini secara matang, berfakta dan adil.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon