Sabtu, 28 Mac 2026

Ikan yu agresif di Laut Caribbean dikesan positif kokain


Ikan yu mungkin menunjukkan lebih banyak sifat agresif selepas memakan kokain yang tertumpah oleh pelancong di Laut Caribbean, menurut satu kajian diterbitkan dalam jurnal Environmental Pollution.


Memetik laporan Metro UK, saintis mendapati hampir 30 ekor ikan yu, daripada tiga spesies, positif dadah selepas ditangkap di sebuah pulau terpencil di luar pantai Bahamas.


Yang paling biasa ditemui ialah kafein, diikuti oleh acetaminophen dan diclofenac, bahan aktif dalam ubat tahan sakit Tylenol dan Voltaren. Namun, dua daripada ikan prasejarah itu positif kokain.


Seekor anak ikan yu, jenis lemon turut diuji positif kokain. Ikan-ikan yu yang diuji menunjukkan perubahan dalam penanda metabolik, termasuk laktat dan urea. Namun, masih belum jelas bagaimana perubahan ini mungkin mempengaruhi tingkah laku mereka.


Kebanyakan ikan yu ditangkap kira-kira empat batu di luar pesisir pantai, di sebuah kawasan penternakan ikan yang tidak aktif dan popular dalam kalangan penyelam. Masih tidak jelas bagaimana dadah memasuki aliran darah ikan yu ini.


Pakar berkata, arus laut boleh membawa jejak dadah daripada air kumbahan, tetapi penyelam dianggap lebih berkemungkinan sebagai penyebab.


"Farmaseutikal dan dadah haram semakin dikenali sebagai pencemar yang menjadi kebimbangan baru dalam persekitaran marin, terutamanya di kawasan yang mengalami urbanisasi pesat dan pembangunan berpandukan pelancongan," kata para saintis.


Natascha Wosnick dari Universiti Persekutuan Paraná di Brazil memberitahu Science News: "Ia kebanyakannya kerana orang ramai pergi ke sana, membuang air kecil ke dalam air dan membuang kumbahan mereka ke dalam laut.


"Mereka menggigit benda untuk menyiasat dan akhirnya terdedah."


Beberapa nelayan turut mendakwa pernah melihat ikan yu menyerang dan merosakkan bongkah-bongkah kokain yang dibuang oleh penyeludup dadah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon