Sabtu, 9 Mei 2026

Perpaduan kuat ahli parti mampu tangkis 'tebuk atap' jatuhkan kerajaan - Mohamad Sabu


Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kekuatan perpaduan ahli parti mampu menangkis perbuatan 'tebuk atap' yang disusun segelintir pihak bagi menjatuhkan kerajaan.


Beliau berkata, sebagai parti yang pernah berada dalam kerajaan sebelum tumbang menerusi Langkah Sheraton pada 2018, perkara itu mesti cepat dihentikan apabila terdengar ura-ura mengenainya.


"Soal perpaduan penting, sebab itu saya marah bila ada ura-ura nak buat tebuk atap di Negeri Sembilan kerana hal itu, kita sudah ada pengalaman sebelum ini.


"Dalam hal Langkah Sheraton, bila disebut 'tebuk atap' mesti ada orang dalam, sebab itu kerajaan jatuh kerana orang dalam. Jarang dia jatuh kerana kekuatan musuh.


"Jadi atas sebab itu, pengalaman pemerintahan kita pada 2018 yang kita dapat mandat waktu itu, jangan ulang lagi, jika ada ura-ura nak 'tebuk atap', kita kena cepat (kekang)," katanya berucap menyampaikan Ceramah Isu Semasa di luar perkarangan Pejabat AMANAH negeri di Sungai Dua, Butterworth malam tadi.


Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, disebabkan itu perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan bagi memastikan hal sedemikian tidak berlaku.


"Kita tahu bila berkawan dengan BN, dulu kita banyak kritik mereka dan sebaliknya, tetapi bila berkawan, kita boleh selesai di meja rundingan dan tidak perlu lagi pergi kepada media.


"Alhamdulillah, sudah tiga tahun setengah kerajaan ini berjalan baik. Saya yakin pada pilihan raya akan datang, Kerajaan Perpaduan akan kembali memerintah.


"Kita perlu jaga perpaduan antara kerajaan, PH dengan BN, jika kita marah pun sehingga pilihan raya. Jangan buat kecoh sebelum pilihan raya untuk jaga perpaduan kita semua," katanya.


Mohamad berkata, jika perpaduan antara PH dan BN berlaku sebaliknya menjelang pilihan raya kelak, situasi lain akan diputuskan untuk menghadapi perkara itu.


"Buat masa sekarang kita bersama tetapi jika keadaan menjelang pilihan raya berlaku formula lain, kita akan hadap cara lain," katanya.


EmoticonEmoticon