Seorang lelaki yang hanya memakai seluar dalam dicekup bersama tukang urut wanita warga asing dalam operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah urut di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.
Menurut JAINJ, kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota penguat kuasa pada jam 10.45 malam di salah sebuah bilik rumah urut berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati lelaki tempatan berusia 30-an itu hanya memakai seluar dalam ketika ditemui sedang berbaring, manakala seorang wanita berusia 30-an yang juga warga Indonesia duduk di sebelahnya.
"Di dalam bilik itu turut ditemui katil bujang bersama tilam dan cadar, pakaian lelaki berkenaan serta beberapa botol kecil berisi minyak urut," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan berstatus suami orang dan bekerja di daerah ini, manakala wanita terbabit bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan kira-kira empat bulan lalu.
"Lelaki terbabit memaklumkan dia tinggal bersendirian di daerah itu dengan menyewa sebuah bilik, sementara isteri dan anaknya berada di negeri lain yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.
"Dia juga mendakwa kebiasaannya pulang ke kampung seminggu sekali atau dua minggu sekali. Sementara itu, wanita terbabit mengaku bekerja sebagai tukang urut secara komisen," katanya.
JAINJ berkata, premis berkenaan dipercayai menerima pelanggan melalui promosi di beberapa aplikasi Internet selain pelanggan tetap yang datang secara terus.
Katanya, bayaran urutan biasa dikenakan RM80 bagi tempoh sejam, manakala terdapat bayaran tambahan bagi perkhidmatan lain.
"Bagaimanapun, lelaki berkenaan mendakwa dia hanya mendapatkan urutan biasa kerana mengalami lenguh badan selepas bekerja dan menafikan mendapatkan perkhidmatan lain," katanya.
Pasangan terbabit kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

EmoticonEmoticon