Bekas anggota sebuah jabatan penguat kuasa yang memiliki 106 rekod jenayah dan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam atas pertuduhan mencuri pikap yang didakwa dilakukannya 11 Ogos lalu.
Mohd Azri Mohd Kassim, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Tertuduh bersama-sama seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas didakwa mencuri pikap jenis Toyota Hilux milik sebuah syarikat di tempat letak kenderaan Taman Ceria di Batu Pahat, pada 7.05 petang, 11 Ogos lalu.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.
Berdasarkan laporan, pengadu yang juga pekerja syarikat terbabit meletakkan pikap di belakang sebuah hotel, namun ketika mahu pulang bersama rakan mendapati dua lelaki tidak dikenali berada dalam kenderaannya.
Pengadu dan rakan berjaya menahan tertuduh, manakala seorang lagi sempat melarikan diri. Pengadu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan tertuduh bersama rakan sejenayah menyasarkan Toyota Hilux sebelum kenderaan itu dibawa ke sempadan untuk dijual.
Semakan mendapati, tertuduh memiliki rekod jenayah berkaitan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang dan baru beberapa hari direkrut dalang utama sindiket.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Mehnagha Luckhmana.
Tiada tawaran ikat jamin dibenarkan kepada tertuduh dan kes disebut semula pada 9 Oktober ini untuk serahan dokumen.

EmoticonEmoticon