Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun disyaki berada di bawah pengaruh vape jenis 'mushroom' bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya selepas berang dihalang ibu angkatnya daripada bertemu teman lelaki di sebuah rumah di Jonker Walk, Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian jam 10.33 malam Ahad lalu itu dipercayai berlaku selepas mangsa berang apabila dihalang oleh ibu angkatnya berusia 49 tahun daripada bertemu teman lelaki berusia 17 tahun.
Beliau berkata, mangsa kemudian masuk dalam bilik tidur di tingkat satu rumah itu, sebelum bertindak mencederakan diri menggunakan sebilah pisau.
"Ibu angkat mangsa mendakwa remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan dipercayai di bawah pengaruh vape jenis 'mushroom' sebelum kejadian berlaku.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati remaja itu mula terdedah kepada penggunaan vape berkenaan selepas diperkenalkan oleh teman lelakinya yang juga pelajar Tingkatan Empat sejak Februari lalu.
Katanya, ibu angkat mangsa juga sudah merampas vape itu bagi menghalang daripada terus menggunakannya selain siasatan turut mendapati bahan berkenaan dipercayai dibekalkan oleh teman lelaki mangsa.
"Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap semua individu terbabit, termasuk ibu angkat dan penghuni rumah berusia 14 hingga 17 tahun.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
Media pada Selasa lalu melaporkan mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka selepas ditemui dengan kesan kelar di leher di sebuah rumah di sekitar Banda Hilir.
EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, dilaporkan berkata, remaja terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau pasukan perubatan.

EmoticonEmoticon