TAWAU - Gara-gara bimbang kehilangan pekerjaan susulan kejadian kecurian di tempat kerja, seorang pengawal keselamatan sanggup mereka cerita kononnya dirinya menjadi mangsa samun sehingga membuat laporan polis palsu.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 45 tahun itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati kejadian samun yang dilaporkannya pada 7 September lalu sebenarnya tidak pernah berlaku.
Tertuduh, Liman Ismail, mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 9.44 malam pada hari kejadian.
Ketika ditanya Majistret Don Stiwin Malanjum mengenai motif perbuatannya, tertuduh mengakui bertindak demikian kerana takut dibuang kerja selepas berlaku kecurian di tempat kerjanya. Dia juga mendakwa tidak mengetahui kejadian itu kerana sedang tidur ketika insiden berlaku.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani Perintah Kehadiran Wajib selama enam bulan di Pusat Kehadiran Wajib Tawau, selama empat jam sehari.
Selain itu, tertuduh turut dikenakan bon RM1,000 tanpa deposit dengan dua orang penjamin tempatan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jhasserry P Kang, memaklumkan anak guamnya menyesal dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar masyarakat tidak menyalahgunakan laporan polis.

EmoticonEmoticon