Khamis, 5 Mac 2026

Banyak parti jemput saya bincang, Parti Keluarga Malaysia paling hampir dimuktamad - Hamzah


Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat BERSATU mengakui menerima pelbagai jemputan daripada beberapa parti politik untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama politik.


Ahli Parlimen Larut itu berkata antara paling hampir dimuktamadkan adalah dengan Parti Keluarga Malaysia yang kini pada tahap kira-kira 90 peratus rundingan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan perlu menilai terlebih dahulu tujuan penubuhan sesebuah parti serta keserasian perjuangan sebelum membuat sebarang keputusan.


"Banyak parti menjemput saya berbincang. Kita perlu lihat dahulu matlamat mereka dan sama ada selari dengan perjuangan saya sebagai wakil rakyat Bebas.


"Kita tidak mahu tergesa-gesa, perlu buat kajian dan analisis sebelum membuat keputusan," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di Parlimen Larut.


Media semalam melaporkan Parti Keluarga Malaysia yang dikatakan akan diambil alih Hamzah pernah cuba didaftar pada 2022, tetapi ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).


Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata pihaknya belum menerima permohonan baharu untuk pendaftaran semula parti terbabit.


Mengulas kemungkinan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Hamzah berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.


"Keutamaan ketika ini adalah memastikan perjuangannya diterima rakyat. Landskap politik negara kini sudah berubah dan tidak lagi didominasi oleh satu parti sahaja seperti sebelum ini, sebaliknya memerlukan kerjasama gabungan beberapa parti," katanya.


EmoticonEmoticon