Seorang lelaki berusia 28 tahun yang mendakwa dirinya menghidap AIDS ditahan selepas dipercayai cuba merampas sebuah bas dua tingkat sehingga menyebabkan kemalangan di daerah North Point, Jumaat lalu.
Menurut laporan South China Morning Post, dalam kejadian kira-kira 6.45 petang (waktu tempatan), pemandu bas syarikat Citybus berusia 54 tahun menerima maklumat daripada penumpang di tingkat atas bahawa seorang lelaki telah memecahkan cermin tingkap kanan belakang bas menggunakan tukul kecemasan.
Pemandu berkenaan kemudiannya memberhentikan bas di King’s Road dan mengarahkan penumpang turun serta mengeluarkan kunci kenderaan sebagai langkah keselamatan.
Bagaimanapun ketika dia sedang memeriksa tingkap yang rosak, suspek bergegas masuk ke tempat pemandu dan melepaskan brek tangan kenderaan tersebut.
Akibat tindakan itu, bas tersebut mengundur dan merempuh sebuah bas KMB yang berhenti di belakangnya. Suspek kemudian melompat keluar melalui tingkap tingkat atas dan berjalan kaki tanpa cuba melarikan diri.
Pemandu bas cuba menahannya tetapi gagal, sebelum polis akhirnya menahan lelaki itu di luar cawangan HSBC di King’s Road.
Menurut sumber, suspek bercakap tidak menentu dalam bahasa Cina dan kelihatan seperti terganggu mental semasa ditahan.
Ketika ditangkap, terdapat kesan darah pada tangan suspek dan dia mendakwa dirinya menghidap AIDS.
Disebabkan pergaduhan dengan pemandu bas dan dakwaan tersebut, kedua-dua lelaki itu dibawa ke hospital untuk rawatan sebagai langkah berjaga-jaga.
Suspek kini berdepan empat pertuduhan, termasuk membuat khianat, mengambil kenderaan tanpa kebenaran, memandu tanpa lesen dan memandu tanpa insurans pihak ketiga. Kes disiasat oleh pasukan siasatan jenayah di Hong Kong.


EmoticonEmoticon