Seorang ibu menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini ketika merayu hukuman ringan selepas mengaku bersalah menggunakan akaun bank milik anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) bagi transaksi penipuan sewa rumah.
Noor Fazira Sinen, 31, yang juga isteri kepada seorang anggota polis, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.
Dalam rayuannya, suri rumah berkenaan memaklumkan dia kini hamil anak keenam selain perlu menjaga ibunya yang sudah berusia.
Selepas mendengar rayuan tertuduh, Hafizah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Noor Fazira didakwa menggunakan akaun bank milik anak kandungnya untuk menipu Anis Amera Zaini sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM1,500.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Anggerik 2/12, Taman Anggerik Tenggara, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, antara 30 April hingga 22 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Husni Abu Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, pada 30 April lalu, mangsa terpedaya dengan iklan rumah sewa tidak wujud yang ditawarkan menerusi laman sosial Facebook (FB).
Mangsa kemudian membuat transaksi sebanyak RM1,500 ke dalam akaun bank milik anak kandung tertuduh.
Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima kunci rumah seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis di Bandar Tenggara.


EmoticonEmoticon