Suami isteri dipenjara sehari dan didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk ikan cencaru dan kicap, dua tahun lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman terhadap Siti Nurulaini Johari, 40, dan suaminya, Tengku Azman Tengku Jalal, 46, selepas menerima pengakuan dan mensabitkan mereka seperti pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mencuri 12 keping WC precut (1.6 gram), lima ekor ikan cencaru, deodoran, kicap manis dan empat tin minuman keras, keseluruhannya bernilai RM70.69 milik sebuah pasar raya di Taman Paya Rumput Utama, Melaka.
Kesalahan itu dilakukan jam 6.30 petang, pada 27 September 2023. Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian disedari seorang jurujual sebelum memaklumkan kepada pengurus pasar raya.
Siti Nurulaini ditahan ketika cuba keluar tanpa membayar, manakala Tengku Azman yang awalnya melarikan diri ditahan polis bersama barangan rampasan.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib manakala pasangan itu diwakili peguam SS Amritpal Singh.
Dalam hujahnya, pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran bagi kedua-dua tertuduh, namun peguam merayu hukuman ringan atas alasan pasangan itu sudah insaf atas kesalahan dilakukan.
Katanya, pasangan itu mencuri barang keperluan harian disebabkan kekangan kewangan serta menanggung tiga anak masih bersekolah.
Katanya, Tengku Azman bekerja sebagai penghantar barangan manakala Siti Nurulaini seorang suri rumah yang menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis berkala.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM400 setiap seorang dan jika ingkar membayar, penjara dua bulan.


EmoticonEmoticon