Selasa, 9 Disember 2025

Saya tak tahu sebab tu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar - Muhammad Sanusi


Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan kejadian rasuah projek penternakan lembu milik kerajaan negeri yang didakwa membabitkan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.


Kata Muhammad Sanusi, ia kerana semasa kejadian tersebut berlaku, beliau belum lagi dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Kedah.


"Saya tak tahu kerana kejadian itu zaman sebelum saya jadi MB, sebelum saya masuk sini iaitu sebelum tahun 2020.


"Saya tak tahu apa, saya baru tengok surat khabar tetapi yang beri orang lain, yang ambil orang lain yang kena orang lain. Itu pelik juga no..," katanya selepas Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050 di Alor Setar hari ini.


Menurutnya, Azman turut mengadakan sidang akhbar semalam selepas dituduh di mahkamah dengan mendakwa pendakwaan tersebut bermotifkan politik.


"Semua orang tahu, siapa yang ikuti benda itu nampak dengan jelas. Kita pun tak mahu cakap apalah pasal (sudah jadi) kes mahkamah dah kan," ujarnya.


Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan terhadap Azman, beliau menjawab tiada kerana Ahli Parlimen tersebut belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.


Berhubung status projek penternakan tersebut, beliau memaklumkan bahawa Kedah Agro telah ditutup.


"Saya tiada maklumat, Kedah Agro pun tutup dah dan bila tutup, maknanya dah tiada aktivitilah. Ini kes lama sebelum 2020, masa itu MB orang lain, Exco-exco pun orang lain dan beliau (Azman) pun salah seorang Exco waktu itu," ujarnya.


Media semalam melaporkan Azman, 53, dan ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan bersubahat dan rasuah projek usaha sama penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah.


Amar Assuat didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan tunai RM400,000 daripada seorang lelaki bagi membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu.


Ia sebagai dorongan bagi membantu individu tersebut mendapatkan projek itu daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).


Azman pula didakwa bersubahat dengan Amar Assuat bagi menerima suapan tunai RM400,000 bagi dirinya daripada lelaki sama sebagai upah membantu individu berkenaan mendapatkan projek tersebut.


Untuk rekod, Azman ketika bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani Kedah sebelum keluar parti pada Mei 2020 dan meneruskan portfolio itu selepas Muhammad Sanusi dilantik sebagai MB Kedah.


EmoticonEmoticon