Sekumpulan lelaki berlari bertempiaran selepas memotong kabel dipercayai dicuri sejurus melihat kelibat polis peronda di Bandar Sunway kelmarin.
Menerusi perkongsian hantaran di TikTok, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan sekumpulan lelaki memotong kabel dipercayai di lorong belakang kedai, seawal 7 pagi.
"Kebas kabel di Sunway. Polis datang, semua terbang sepantas kilat," menurutnya pada ruang kapsyen.
Video berdurasi 5 minit itu turut memaparkan masing-masing sibuk memotong kabel sebelum bertempiaran melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis.
Dalam video tular itu, seramai hampir 10 orang yang terlibat termasuk pemandu kereta yang bersedia menunggu kabel dimasukkan ke dalam but kereta.
Menjengah ke ruang komen, rakaman tersebut mengundang kemarahan orang ramai dengan tindakan yang dianggap mengambil risiko demi keuntungan segera.
"Betul orang kata nak cari duit kena bangun awal pagi walaupun hasil duit haram. Rajin betul nak mencuri benda macam ini," kata seorang netizen.
"Kesepakatan itu memang patut dipuji tapi salah guna pula untuk mencuri. Sepatutnya pergi buat kerja amal, jangan ambil jalan mudah semata nak duit," komen seorang lagi netizen.
"Bukan dapat duit banyak pun dengan hasil mencuri dan kongsi ramai-ramai. Nanti bila sudah ada rekod jenayah, lagi susah nak minta kerja halal," komen yang lain.


EmoticonEmoticon