Keputusan rayuan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan yang digantung dijangka mengambil sedikit masa lagi sebelum diumumkan.
Perkembangan terbaharu itu didedahkan oleh media pasukan Velez Sarsfield, Sabado Velez iaitu kelab yang diwakili salah seorang pemain warisan negara, Imanol Machuca.
Menurut kenyataan yang dikongsikan di laman Instagram Sabado Velez berkenaan, sesi pendengaran rayuan telah berlangsung pada Khamis lalu dan pihak pembelaan bagi Machuca mengemukakan hujah mereka di hadapan FIFA.
"Keputusan muktamad dijangka diumumkan antara Isnin dan Selasa minggu hadapan," menurut kenyataan itu.
Pihak yang rapat dengan pemain Velez berkenaan turut dilaporkan optimis terhadap hasil rayuan tersebut.
"Semuanya akan berjalan dengan baik," katanya.
Sebelum ini, keputusan rayuan itu dijadualkan diumumkan pada Khamis lalu, namun tiada sebarang kenyataan daripada FIFA mahupun FAM mengenai rayuan tersebut.
FAM serta tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Machuca, Facundo Garces, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero dan Rodrigo Holgado.
FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Badan induk bola sepak negara itu kemudiannya menjelaskan berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan dalam proses penyerahan dokumen dan menegaskan perkara tersebut dipandang serius.


EmoticonEmoticon