Wanita yang didakwa menipu harta milik seorang warga emas hampir £300,000 (kira-kira RM1.61 juta) diarah menjual rumahnya bagi membayar semula wang yang dicuri itu.
Metro UK pada Selasa melaporkan Pamela Gwinnett, 62, didakwa menipu Joan Green, warga emas yang uzur dengan mengambil wangnya sehingga wanita itu meninggal dunia pada November 2022.
Gwinnett mendakwa dirinya kawan dan penjaga Joan, dan memisahkan warga emas itu daripada keluarga bermula pada 2020 sebaik dimasukkan ke rumah penjagaan selain menuduh mereka menyeksanya.
Dia menggunakan wang yang dicuri untuk mengurangkan hutang, membeli kereta mewah, makanan mahal dan melakukan rawatan kosmetik serta kecantikan.
Gwinnett kemudian melarikan diri dari United Kingdom ke Tenerife, pulau di Sepanyol, selepas dihukum penjara enam tahun atas penipuan dan kecurian. Dia bagaimanapun tidak hadir prosiding itu yang berlangsung Oktober tahun lalu.
Wanita terbabit yang dipercayai masih berada di pulau berkenaan digelar 'Black Widow' kerana minatnya terhadap warga emas kaya dan mendekati Joan selepas sedar warga emas itu kaya kerana bekerja sebagai akauntan dan suaminya seorang pengurus kanan di British Aerospace.
Dalam Sesi Pendengaran Hasil Jenayah berlangsung baru-baru ini, peguamnya berkata, Gwinnett bercadang merayu sabitan bagi penipuan dan kecurian itu.
Hakim Michael Maher mengeluarkan perintah ganti rugi sebanyak £350,180.79 (kira-kira RM1.88 juta) yang mesti dibayar dalam tempoh tiga bulan dan rumah Gwinnett di Adlington di Lancashire perlu dijual jika perlu.
Dia juga boleh dihukum penjara 42 bulan jika gagal menjelaskan bayaran.
"Ini adalah kes yang jarang berlaku di mana saya dapat buat perintah rampasan penuh untuk dana yang telah dicuri.
"Luar biasanya, jumlah yang tersedia melebihi angka rampasan yang dicadangkan. Berdasarkan itu maka saya memerintahkan ganti rugi diberi kepada harta pusaka Joan Green," kata Hakim Maher.
Sementara itu, anak tiri Joan, Katherine Farrimond, 65, berkata, warga emas terbabit percaya keluarga membencinya akibat pembohongan Gwinnett.

EmoticonEmoticon