Rabu, 11 Februari 2026

Menteri MOTAC tegur rakyat Malaysia tak mesra pelancong


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegur sikap segelintir rakyat Malaysia termasuk pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan yang didakwa bersikap tidak mesra terhadap pelancong, sekali gus mencalarkan imej negara di mata dunia.


Beliau berkata, kementeriannya menerima banyak aduan daripada pelancong dan orang tempatan berhubung layanan kasar serta sikap 'tunjuk kuasa' oleh individu yang sepatutnya membantu, khususnya membabitkan penguat kuasa, pegawai kerajaan dan petugas keselamatan.


"Kita ada sekuriti dan pegawai yang fikir mereka ada kuasa. Bila orang tidak faham, sepatutnya kita jelaskan, bukannya tunjuk kuasa dan cakap 'who I am?'. Inilah yang menyebabkan rakyat dan pelancong rasa diketepikan.


"Sikap tidak mesra itu bukan sahaja menjejaskan pengalaman pelancong, malah memberi gambaran buruk terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


"Jadi saya minta ketua jabatan dan ketua setiausaha kementerian mari kita bersama melihat perkara ini demi negara kita," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Mesra Malaysia di KL Sentral hari ini.


Beliau turut membandingkan layanan mesra di negara lain seperti Jepun yang terkenal dengan budaya sopan dan menghormati pelancong, berbanding ekspresi wajah dan layanan dingin yang masih berlaku di Malaysia.


"Kita lihat di negara lain, orang tunduk, senyum, ucap terima kasih. Tetapi di negara kita, muka ketat. Ini masalah besar dalam usaha kita menjaga imej negara," katanya.


Pada masa sama, King Sing turut menzahirkan kebimbangan terhadap aduan layanan buruk di pusat beli-belah, termasuk sikap jurujual yang memandang sinis pelancong dan pelanggan tempatan.


Katanya, ada pelancong mengadu apabila masuk ke kedai, jurujual pandang mereka seperti ada melakukan kesalahan besar.


"Ini sikap dan karakter yang perlu diubah. Jangan layan pelancong atau penduduk tempatan macam sampah," katanya.


Justeru, beliau merancang untuk berjumpa pihak pengurusan pusat beli-belah selepas sambutan Tahun Baharu Cina ini bagi menyampaikan mesej tegas supaya semua pengusaha dan pekerja runcit mengamalkan layanan mesra.


Sementara itu, King Sing turut memaklumkan sehingga Januari 2026, seramai 9,898 pembantu pelancong sudah berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan seramai 4,932 petugas barisan hadapan menjalani latihan membabitkan sebanyak 158 siri kursus sejak 2024.


Namun, beliau menegaskan jumlah itu masih belum mencukupi dan menyeru semua rakyat Malaysia memainkan peranan bersama dalam menjaga imej negara.


"Jangan sampai orang anggap Malaysia negara yang tidak mesra. Kita mesti buktikan sebaliknya. Mesra bukan hanya kepada pelancong, tetapi juga sesama rakyat," katanya.


Bagaimanapun katanya, usaha memperkukuh semangat Mesra Malaysia bukan sekadar persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026., sebaliknya perlu menjadi budaya berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia.


EmoticonEmoticon