Memaparkan catatan dengan label Seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seni. Papar semua catatan

Ahad, 7 April 2024

Komik Superman edisi tahun 1938 dijual pada harga RM28.5 juta

Komik Superman edisi tahun 1938 dijual pada harga RM28.5 juta


Naskah komik yang menampilkan adiwira Superman menjadi buku komik paling mahal di dunia apabila dijual pada harga AS$6 juta (RM28.5 juta) dalam lelongan Khamis lalu, lapor agensi berita United Press International pada 5 April 2024.


Firma lelongan Heritage Auctions menyatakan, buku Action Comics No. 1 edisi tahun 1938 memaparkan penampilan pertama Superman itu menarik bidaan tinggi sehingga meme­cahkan rekod dunia.


Buku komik itu telah diperiksa oleh Collectible-grading Service (CGC) dan diberi gred 'Sangat baik+ 8.5', menjadikannya salinan gred ketiga tertinggi.


CGC berkata, kira-kira 100 naskhah komik itu dipercayai masih wujud dan pihaknya telah menggred 78 naskhah setakat ini.


Komik itu diterbitkan oleh National Allied Publications.


Rekod sebelum ini untuk komik termahal adalah Superman No. 1 yang dijual pada harga AS$5.3 juta (RM25.2 juta) pada tahun 2022.


Buku komik termahal yang dijual dalam acara lelongan sebelum itu ialah Amazing Fantasy No. 15.


Komik menampilkan penampilan pertama Spider-Man itu dijual pada harga AS$3.6 juta (RM17.1 juta), September 2021. - Sumber United Press International.


'Action Comic No. 1' merupakan komik termahal yang pernah dijual. - Photo courtesy of Heritage Auctions.

Ahad, 31 Mac 2024

Tekniknya tiada tandingan, lelaki pecah rekod muntah air keluar mulut paling lama

Tekniknya tiada tandingan, lelaki pecah rekod muntah air keluar mulut paling lama


Seorang lelaki di China memecahkan Guinness World Records (GWR) baharu apabila berjaya memuntah air keluar dari mulut secara berterusan selama 5 minit 51.88 saat, lapor Oddity Central pada 27 Mac 2024.


Sebenarnya teknik memuntah air keluar dari mulut dalam tempoh agak lama adalah satu helah atau 'silap mata' sejak abad ke-17.


Tekniknya, seorang itu perlu meminum air dalam sejumlah yang banyak dan kemudian memuntahkannya kembali dengan menggunakan kawalan otot dalam mulut.


Bagaimanapun, ia bukan perkara yang mudah kerana teknik ini memerlukan latihan berterusan supaya kawalan air dalam mulut dapat dikeluarkan dengan seimbang untuk tempoh yang lama.


Tetapi, setakat ini tiada sesiapa pun dapat mengalahkan Ma Hui, seorang lelaki Cina berusia 35 tahun yang baru-baru ini berjaya mencipta rekod dunia di GWR kerana memuntah air dari mulut dalam tempoh lama.


"Kami telah melihat beberapa manusia yang cukup mengagumkan selama ini. Bagaimanapun, tiada seorang pun yang sehebat Ma Hui, yang baru-baru ini mencatat rekod baharu Guinness untuk masa paling lama menyembur air dari mulut.


"Untuk mengatakan bahawa dia memecahkan rekod sebelum ini adalah satu kenyataan yang meremehkan, memandangkan dia berjaya mengeluarkan air dari mulutnya selama hampir 6 minit.


"Pemegang rekod sebelumnya, Kirubel Yilma dari Ethiopia, telah berjaya melakukannya selama hanya 56.36 saat," kata Oddity Central yang memetik kenyataan GWR.


Bagi memastikan rekod itu disahkan GWR, individu yang berhasrat mencipta rekod ini perlu mengeluarkan air dari mulut mereka secara berterusan.


Syaratnya, apabila aliran air pecah atau berhenti, percubaan itu dianggap tamat dan pada waktu sama penjaga masa akan menghentikan jam pemasa untuk direkodkan dalam GWR.


Dalam percubaan itu, Ma Hui meminum air sebanyak 4.5 liter dan kemudian memuntahkan keluar air perlahan-lahan dengan menampakkan kawalan otot pada leher wajahnya.


Ia mungkin tidak kelihatan seperti dia melakukan banyak perkara, tetapi tekniknya benar-benar tiada tandingan. - Sumber Oddity Central.


Video dilihat dalam You Tube menunjukkan Ma Hui memuntahkan air dalam tempoh hampir enam minit. - Foto Guinness Records.

Isnin, 25 Mac 2024

Dua beradik ubah suai kereta jadi 'helikopter'

Dua beradik ubah suai kereta jadi 'helikopter'


Polis India merampas sebuah projek kereta buatan sendiri atau DIY daripada dua beradik yang mengubah suai kereta kecil jenis Suzuki mereka menyamai helikopter, dalam usaha menjana wang dengan menyewakannya untuk majlis perkahwinan.


Ishwardin, 36, dan Parmeshwardin Prajapati, 37, membelanjakan hampir AS$3,000 (RM14,212) untuk memasang bilah pemutar kecil pada bumbung kereta dan membuat membentuk kepingan logam menyerupai bahagian belakang helikopter.


Media tempatan melaporkan, pengubahsuaian besar itu mengambil masa beberapa minggu di sebuah bengkel di Uttar Pradesh, negeri di utara India.


Dua beradik itu merancang untuk mengenakan bayaran 5,000 rupee (RM284) sehari kepada pasangan yang akan berkahwin dan inginkan cara pengangkutan unik lagi tersendiri pada hari perkahwinan mereka.


"Saya menukar kereta itu untuk digunakan bagi tempahan ketika musim perkahwinan supaya keluarga kami dapat memperoleh wang tambahan," kata Ishwardin yang dipetik Economic Times.


Bagaimanapun, rancangan mereka tergendala apabila polis trafik merampas kenderaan itu pada Rabu, apabila mereka melihatnya berhampiran perhentian bas Akbarpur ketika ia sedang dibawa untuk dicat.


India Today melaporkan, kenderaan itu disita kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan menjalani pengubahsuaian yang tidak dibenarkan.


Adik beradik itu membayar denda sebanyak 2,000 rupee (RM114) dan kereta itu dikembalikan kepada mereka dengan syarat mereka menanggalkan ubah suai yang dipasang padanya.


Dalam sebuah video tular, penduduk dilihat berkumpul untuk melihat kereta luar biasa itu yang diletakkan di luar balai polis selepas ia dirampas. - Sumber India Today.


Kereta yang diubah suai menyerupai helikopter oleh adik-beradik dari Uttar Pradesh, India. - Foto Agensi.

Sabtu, 16 Mac 2024

Tiada yang mustahil, inilah doktor terpendek di dunia

Tiada yang mustahil, inilah doktor terpendek di dunia

 

Dr Ganesh Baraiya, pemuda dari Gujarat, India, membuktikan tiada yang mustahil apabila mencapai cita-citanya bergelar doktor terpendek di dunia.


Ia memandangkan Dr Ganesh, 23, hanya mempunyai ketinggian 91.4 sentimeter (sm), menjadikan dia mungkin doktor terpendek di dunia, lapor Oddity Central pada 13 Mac 2024.


Dr Ganesh yang menamatkan pengajiannya dan kini bertugas sebagai pelatih di Hospital Sir-T di Bhavnagar, menyimpan impian bergelar doktor sejak kecil lagi, lalu belajar bersungguh-sungguh mendapatkan gred yang tinggi dalam pelajaran.


Bagaimanapun, laluannya agak sukar kerana pernah memohon menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS), namun ditolak walaupun mendapat keputusan yang baik.


Majlis Perubatan India menolak permohonannya kerana ketinggiannya dengan memberi alasan Ganesh tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dalam kes kecemasan.


Dr Ganesh mengakui kecewa namun enggan berputus asa hingga kesnya dibawa ke Mahkamah Agung India.


Pada 2018, Mahkamah Tinggi di India, memutuskan Ganesh berhak untuk mendaftar dalam MBBS, dan dia melakukannya pada tahun berikutnya.


"Saya sangat kecewa tiga tahun lalu, tetapi enggan menerima penolakan mereka. Sekarang saya sangat gembira kerana mendapat keadilan daripada Mahkamah Agung.


"Kini saya dalam perjalanan untuk memenuhi impian yang saya harapkan sejak kecil. Saya tahu saya berbeza, tetapi saya mahu menjalani kehidupan yang baik seperti orang lain dan membanggakan ibu bapa saya," kata Dr Ganesh.


Sehingga kini, Dr Ganesh masih menangani isu diskriminasi kerana ramai pesakitnya enggan bercakap dengannya kerana ketinggiannya. - Sumber Oddity Central.


Dr Ganesh Baraiya. - Foto Oddity Central.

Isnin, 13 November 2023

Lukisan teratai air karya Monet terjual pada harga RM347 juta dalam acara lelongan

Lukisan teratai air karya Monet terjual pada harga RM347 juta dalam acara lelongan


Lukisan teratai air karya pelukis gaya impresionisme Perancis, Claude Monet antara karya menarik dijual pada harga AS$74 juta (RM347.25 juta) dalam acara lelongan pada musim luruh ini.


Lukisan 'Le bassin aux nympheas' itu mendahului unjuran harga jualan AS$65 juta (kira-kira RM305.01 juta) dalam acara lelong Christie di New York, malam Khamis lalu.


Jualan lukisan terkenal lain termasuk pelukis ekspresionis abad ke-20, Richard Diebenkorn iaitu Recollections of a Visit to Leningrad yang dijual pada harga AS$46 juta (RM215.85 juta), manakala Untitled karya pelukis Amerika Syarikat, Joan Mitchell dijual pada harga AS$29 juta (RM136.08 juta).


Tiga lukisan karya Paul Cezanne dijual termasuk Fruits et pot de gingembre dengan harga hampir AS$39 juta (RM183.01 juta).


Rabu lalu, lukisan Woman with a Watch karya Pablo Picasso memperoleh AS$139.3 juta (RM653.67 juta), harga kedua tertinggi yang pernah dicapai untuk artis itu.


Femme a la montre, lukisan dihasilkan pada 1932 yang menggambarkan salah seorang sahabat dan muse artis Sepanyol itu iaitu pelukis Perancis Marie-Therese Walter, bernilai lebih AS$120 juta (RM563.10 juta) sebelum masuk dalam senarai Sotheby's.


Setakat ini, acara lelongan musim luruh yang bermula Selasa, 7 November dan berakhir Rabu depan, 15 November itu meraih nilai jualan AS$748 juta (RM3.509 bilion) di rumah lelongan Christie's dan lebih AS$400 juta (RM1.877 bilion) di rumah lelongan Sotheby's. - Sumber Barrons.


BACA: Sekeping lukisan berjaya dijual pada harga lebih RM653 juta.


Lukisan ‘Le bassin aux nympheas’ karya Claude Monet. FOTO Sotheby's. - Foto Sotheby's.

Sabtu, 11 November 2023

Sekeping lukisan berjaya dijual pada harga lebih RM653 juta

Sekeping lukisan berjaya dijual pada harga lebih RM653 juta


Salah satu karya terhebat Pablo Picasso berjudul Woman with a Watch, dijual pada harga AS$139.3 juta (RM653.6 juta) oleh firma Sotheby’s dalam satu lelongan di New York pada Rabu lalu, harga kedua tertinggi untuk artis seni tersebut.


Lukisan tahun 1932 itu menampilkan teman artis seni Sepanyol tersebut, Marie-Therese Walter dan dianggarkan bernilai lebih AS$120 juta (RM563 juta) sebelum dilelong, demikian menurut Sotheby’s.


Lukisan itu adalah sebahagian daripada jualan istimewa Sotheby’s pada minggu ini merangkumi koleksi milik peminat seni dan hartawan New York, Emily Fisher Landau yang meninggal dunia ketika berusia 102 tahun pada 2023.


Marie turut ditampilkan dalam satu lagi lukisan Picasso yang dilelong oleh firma Christie’s berjudul, Femme endormie atau Wanita Tidur.


Wanita itu berkenalan dengan Picasso di Paris dalam tahun 1927 ketika artis seni itu masih berkahwin dengan penari balet berketurunan Russia-Ukraine, Olga Khokhlova dan ketika Marie berumur 17 tahun. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan yang meninggal dunia tahun lalu.


Lima puluh tahun selepas kematiannya pada tahun 1973 pada usia 91 tahun, Picasso kekal sebagai salah seorang artis paling berpengaruh di dunia moden, dan sering dipuji sebagai seorang genius yang dinamik dan kreatif.


Dalam tahun 2021, Sotheby’s turut menjual sekeping lagi lukisan menampilkan Marie pada harga AS$103 juta (RM478.6 juta). - Sumber NDTV.


Lukisan Pablo Picasso berjudul Woman with a Watch dipamerkan di Bandar Raya New York Rabu lalu. - Foto AFP.

Isnin, 28 Ogos 2023

Wanita diiktiraf memiliki janggut terpanjang di dunia

Wanita diiktiraf memiliki janggut terpanjang di dunia


Erin Honeycutt, 38, dari Michigan, Amerika Syarikat diiktiraf sebagai wanita yang memiliki janggut terpanjang di dunia, lapor laman berita The Guardian, minggu lalu.


Dia menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas berjaya memecahkan rekod dunia dengan memiliki janggut sepanjang 30 sentimeter (sm), selepas dua tahun membelanya.


Rekod sebelumnya dipegang Vivian Wheeler, 75, dengan memiliki janggut sepanjang 25.5 cm. GWR adalah organisasi yang terkenal kerana menyusun pangkalan data lebih daripada 40,000 rekod dunia.


Erin berkata, janggutnya tumbuh secara semula jadi akibat menghidap Sindrom Ovari Polikistik (PCOS).


"Saya mula ditumbuhi janggut pada usianya 13 tahun hingga dia mencuba pelbagai kaedah untuk menghilangkannya. Saya mungkin bercukur sekurang-kurangnya tiga kali sehari.


"Saya buat ini sepanjang remaja sampai saya dewasa. Namun selepas saya mengalami masalah penglihatan, saya penat bercukur sebelum pasangan saya memberi galakan supaya saya membiarkan saja ia tumbuh," katanya.


Selain PCOS, Erin juga menghidap necrotizing fasciitis pada kakinya, iaitu jangkitan bakteria yang jarang berlaku dan mengakibatkan kematian bahagian tisu lembut badan.


"Kaki saya mengalami gangren menyebabkan saya membuat keputusan untuk memotong bahagian bawah anggota badan.


"Namun, tekanan darah saya meningkat tinggi sehingga diserang strok mata dan menjejaskan sebahagian penglihatan saya," katanya.


Katanya, dia berfikiran positif meneruskan kehidupan biarpun kehilangan kaki dan deria matanya.


"Dengan sokongan pasangan saya (Jen), saya membuat keputusan untuk membiarkan janggut saya tumbuh semasa perintah berkurung di seluruh negara kerana Covid-19, dengan penampilan itu, saya dapat membina lebih keyakinan diri," katanya.


Erin berkata, dia tidak pernah terfikir akan mendapat pengiktirafan itu kerana pernah malu dengan keadaannya itu.


Jen pula berkata, Erin berhak keluar menikmati hidup seperti orang lain walaupun ada kalanya ada pandangan serong daripada orang luar ketika melihatnya.


Sementara itu, ibu Erin, Jill Roach berkata, dia sangat menyokong keputusan anak perempuannya untuk membiarkan janggutnya tumbuh kerana apa yang penting wanita itu gembira dengan apa yang dibuatnya. - Sumber The Guardian.


Erin Honeycutt kini pemegang rekod wanita dengan janggut terpanjang di dunia. - Foto The Guardian.