Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada agensi berita antarabangsa, Bloomberg susulan laporan yang disifatkannya 'mengelirukan' dan 'berunsur fitnah' berhubung urus niaga saham lamanya dalam Velocity Capital Bhd.
Memaklumkan notis undang-undang itu akan dihantar sama ada ke pejabat Bloomberg di Malaysia atau ibu pejabatnya di Amerika Syarikat, Azam menegaskan beliau bersedia membawa perkara itu ke mahkamah.
"Esok peguam saya akan hantar (LOD) kepada Bloomberg, sama ada di Malaysia atau di Amerika Syarikat. Agensi berita itu menerbitkan laporan tanpa membuat semakan fakta secara menyeluruh, khususnya berkaitan garis masa pemilikan saham dan pengisytiharan asetnya.
"Ia satu kenyataan yang sangat mengelirukan oleh Bloomberg tanpa menyemak fakta sebenar," katanya pada sidang media khas, di Putrajaya hari ini.
Beliau turut mempertikaikan dakwaan bahawa pejabatnya gagal menjawab pertanyaan Bloomberg sebelum laporan itu diterbitkan.
"Mereka ada menghantar e-mel kepada kami dan kami sudah memberi maklum balas. Apabila mereka menyatakan kami tidak menjawab, itu adalah tidak benar," katanya mendakwa laporan berkenaan mengelirukan orang ramai dengan menggambarkan seolah-olah tiada sebarang maklum balas diberikan pihaknya kepada agensi berita itu.
Menegaskan laporan diterbitkan Bloomberg itu menjejaskan reputasi peribadinya serta imej SPRM, Azam menambah: "Ia benar-benar mencemarkan reputasi saya secara peribadi dan juga organisasi saya".
Beliau menjelaskan isu berkenaan bukan bersifat jenayah, sebaliknya membabitkan tafsiran terhadap pekeliling pentadbiran berkaitan pengisytiharan aset.
"Saya akan menuntut ganti rugi dan bukannya mengambil tindakan (saman) jenayah kerana tidak mahu membebankan pihak polis dengan siasatan rentas sempadan," katanya turut memberi amaran akan memohon perintah injunksi mahkamah sekiranya dakwaan berkenaan terus diulang.
"Jika ada mana-mana pihak terus membangkitkan perkara ini, saya akan memohon injunksi daripada mahkamah," katanya.
Beliau menegaskan sudah mematuhi semua keperluan pengisytiharan aset mengikut prosedur kerajaan dan menyifatkan kontroversi itu timbul akibat spekulasi serta salah tafsir, bukannya pelanggaran peraturan.
"Saya sudah mematuhi keperluan pengisytiharan yang berkaitan, namun saya tidak perlu mendedahkan pengisytiharan itu kepada umum," katanya.

EmoticonEmoticon