Selasa, 8 September 2026

Enam lelaki termasuk 5 remaja bawah umur didakwa rogol gadis 15 tahun


Seorang lelaki bersama lima remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kangar, hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun dalam kejadian yang didakwa berlaku di sekitar Sanglang pada Julai lalu.


Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di kawasan Sanglang kira-kira jam 2 pagi pada 18 Julai lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dan Zuhair Ahmad Zakuan.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.


Tertuduh turut diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 9 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.


Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lima lagi remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor atas pertuduhan merogol mangsa yang sama secara berkumpulan.


Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam dua kejadian berasingan di lokasi yang sama.


Kejadian pertama melibatkan dua tertuduh berusia 15 dan 17 tahun yang didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 18 Julai lalu.


Bagi kejadian kedua, empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang sama antara jam 2 pagi hingga 5 pagi pada 19 Julai.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Wan Nursyaheedah Wan Najmi.


Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan. Seorang remaja berusia 15 tahun yang berdepan dua pertuduhan dikenakan jaminan keseluruhan RM1,000.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Oktober depan bagi mendapatkan laporan akhlak serta pembentangan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.


EmoticonEmoticon