Polis Thailand menahan seorang lelaki berusia 51 tahun yang didakwa memasuki kolam ikan persendirian sebelum melakukan perbuatan seksual terhadap ikan koi di Bangkok.
Ketua Balai Polis Thung Song Hong, Pol Kol Yutthasilp Karin, mengarahkan anggotanya menjejaki suspek yang dikenal pasti sebagai Suchitchai, atau dikenali sebagai Tong.
Kejadian dilaporkan berlaku di luar sebuah rumah di Soi Vibhavadi Rangsit 66 sekitar jam 8 malam waktu tempatan pada 7 September lalu.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek dipercayai tiba dengan basikal kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan sebelum meletakkannya berhampiran kolam ikan.
Dia kemudian dilihat berjalan di sekitar kolam sebelum membuka pakaian dan cuba menangkap seekor ikan koi.
Kira-kira lapan minit kemudian, suspek didakwa menanggalkan semua pakaian, masuk ke dalam kolam dan menangkap seekor ikan koi sebelum melakukan perbuatan seksual terhadap ikan berkenaan. Dia kemudian melepaskan ikan itu kembali ke dalam kolam.
Seorang pembantu rumah dan pemilik ikan menyedari kehadiran suspek sebelum lelaki berkenaan melarikan diri dengan basikal.
Pemilik rumah cuba mengejarnya, namun terjatuh dan mengalami kecederaan. Laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Thung Song Hong.
Penyiasat percaya suspek tinggal berhampiran lokasi kejadian berdasarkan cara dia melarikan diri menggunakan basikal.
Pada petang 10 September, anggota polis mengesan suspek yang dipercayai memakai pakaian sama seperti kejadian, ketika berjalan berhampiran kawasan Siang Kong Lak Si.
Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya dikejar dan ditahan.
Dalam soal siasat, Suchitchai didakwa mengakui bahawa individu dalam rakaman CCTV itu ialah dirinya.
Menurut polis, suspek mendakwa pada awalnya dia pergi ke kawasan tersebut untuk mandi sebelum melihat ikan koi di dalam kolam dan terangsang secara seksual.
Dia didakwa memberitahu polis bahawa dia menangkap ikan itu dan melakukan perbuatan seksual terhadapnya sebanyak dua kali. Suspek turut didakwa mengakui pernah melakukan perbuatan sama terhadap ikan lain.
Polis berkata, suspek turut mengaku mengambil dadah, namun mendakwa tidak mempunyai wang untuk membelinya dan menggunakan dadah yang ditemuinya.
Menurut polis, suspek juga mendakwa pernah melakukan perbuatan seksual terhadap seekor anjing betina beberapa tahun lalu sebelum ditahan dan dipenjarakan oleh polis Bang Khen.
Dia turut didakwa mengakui pernah melakukan perbuatan seksual terhadap sebuah patung yang ditemuinya di tempat pembuangan sampah.
Pemilik ikan yang hanya dikenali sebagai Bobby memberitahu media bahawa dia telah memelihara ikan koi berkenaan selama kira-kira tujuh hingga lapan tahun.
Menurutnya, suspek merupakan individu yang sering dilihat di kawasan itu dan kadangkala berhenti untuk mandi.
Bobby berkata, sebelum ini dia tidak mengesyaki apa-apa kerana hanya melihat kesan lantai basah selepas lelaki itu berada di sekitar rumah.
Bagaimanapun, dia mula berasa curiga selepas ikan koi miliknya mati seekor demi seekor.
Ikan yang mati didapati dalam keadaan badan membengkok dan pada mulanya Bobby menyangka ia mungkin akibat ikan berkenaan berlawan atau terlanggar dinding kolam.
Rumah itu sudah dilengkapi kamera CCTV sejak sekian lama, namun Bobby jarang memeriksa rakamannya kerana tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian.
Polis masih menjalankan soal siasat terhadap suspek serta mengumpulkan bukti berkaitan kes berkenaan.
Pihak berkuasa sedang mempertimbangkan beberapa pertuduhan termasuk kekejaman terhadap haiwan, menyebabkan kerosakan harta benda, melakukan perbuatan tidak senonoh serta menceroboh pada waktu malam.

EmoticonEmoticon