Pempengaruh, Aisar Khaled dilaporkan kepada polis Indonesia berhubung dakwaan penipuan membabitkan wang bernilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta), lapor Tribunnews.com.
Laporan itu dibuat kepada Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada Isnin selepas Aisar didakwa gagal memberikan maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang dikemukakan pihak berkenaan.
Peguam syarikat terbabit, Machi Achmad berkata, laporan dibuat mengikut beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).
"Kami hari ini mewakili pelanggan kami untuk melaporkan seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023," katanya ketika ditemui di Polda Metro Jaya pada Isnin.
Menurut Machi, tiga notis tuntutan telah dihantar kepada Aisar, namun pihaknya mendakwa tidak menerima sebarang jawapan atau maklumat mengenai keberadaan pempengaruh terbabit.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Michael Sugijanto berkata, pertikaian tersebut berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat berkenaan.
Menurutnya, terdapat baki kewajipan yang masih belum diselesaikan Aisar berjumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah.
"Dalam perjanjian itu, baki yang belum dibayar Aisar sekitar 5.7 bilion rupiah," katanya.
Michael berkata, berdasarkan perjanjian tersebut, Aisar turut mempunyai kewajipan untuk melaksanakan beberapa tugasan, termasuk menghadiri acara tertentu secara langsung sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewajibannya.
Bagaimanapun, pihak syarikat mendakwa perkara itu masih belum diselesaikan seperti yang dipersetujui.
Menurut Michael, pihaknya sebelum ini berusaha menyelesaikan pertikaian berkenaan secara baik dengan menghubungi Aisar serta menghantar notis tuntutan, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Laporan berkenaan kini memberi laluan kepada pihak berkuasa Indonesia untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam pertikaian tersebut.
Aisar bagaimanapun, belum memberikan sebarang kenyataan berhubung laporan berkenaan dalam laporan Tribunnews.com yang diterbitkan pada Isnin.

EmoticonEmoticon