Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan

Khamis, 23 April 2026

Tiada asas pihak luar ambil alih kawalan keselamatan Selat Melaka

Tiada asas pihak luar ambil alih kawalan keselamatan Selat Melaka


Negara serantau mempunyai keupayaan penuh untuk mengawal dan menjaga keselamatan di perairan Selat Melaka.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laluan perkapalan strategik berkenaan kini berada dalam keadaan yang aman tanpa sebarang ancaman yang menghalang kelancaran navigasi.


Berikutan itu, beliau menyifatkan tiada asas yang munasabah untuk mana-mana pihak luar menyatakan hasrat mengambil alih kawalan keselamatan di situ.


"Apapun, Selat Melaka ini keadaannya aman, tiada halangan terhadap kapal untuk lalu-lalang. Tidak ada sebab untuk mana-mana negara, kuasa kecil ke kuasa besar, untuk menyatakan hasrat untuk mengawal.


"Negara-negara yang ada di sini semua mampu untuk mengawal," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan hasrat Amerika Syarikat untuk mengambil alih kawalan di kawasan berkenaan.


Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyatakan pendirian yang selari dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa hak kedaulatan perairan itu adalah tertakluk kepada negara yang berkongsi laluan berkenaan.


Katanya, sebarang ketetapan, keputusan atau tindakan yang ingin dilaksanakan di Selat Melaka tidak boleh dibuat secara bersendirian, sebaliknya menuntut konsensus mutlak daripada negara jiran.


"Apa-apa yang nak dibuat untuk Selat Melaka mesti dapat keputusan bersama daripada negara yang ada di kawasan ini iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan Thailand," katanya.

Rabu, 22 April 2026

Indonesia pertimbang kenakan bayaran ke atas kapal lalu Selat Melaka - Laporan

Indonesia pertimbang kenakan bayaran ke atas kapal lalu Selat Melaka - Laporan


Indonesia sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan levi ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka, lapor Anadolu Ajansi. Langkah berkenaan bertujuan menjadikan salah satu koridor perkapalan tersibuk di dunia itu sebagai sumber pendapatan negara yang baharu.


Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa berkata cadangan itu mencerminkan desakan Presiden Prabowo Subianto untuk meningkatkan peranan Indonesia dalam perdagangan global, menurut Jakarta Globe.


Bercakap dalam satu simposium di Jakarta, beliau berhujah bahawa walaupun negara itu terletak di lokasi yang strategik, kapal-kapal kini transit di laluan air berkenaan tanpa sebarang bayaran.


"Indonesia bukan negara terpinggir. Kita berada di sepanjang laluan perdagangan dan tenaga global yang penting, namun kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan bayaran," katanya.


Selat Melaka yang dikongsi oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura ialah arteri maritim penting yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik dan sering dibandingkan dengan laluan strategik lain seperti Hormuz, Suez dan Panama.


Purbaya mencadangkan sebarang mekanisme mengenakan bayaran memerlukan penyelarasan dengan negara jiran sambil menekankan bahagian geografi Indonesia yang dominan bagi laluan itu.


Beliau turut merujuk pada perbincangan antarabangsa, termasuk cadangan yang dikaitkan dengan Iran mengenai tol di Selat Hormuz sebagai model rujukan.


Bagaimanapun, idea itu menghadapi tentangan serantau serta-merta susulan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan yang menegaskan bahawa transit maritim di Selat Melaka dan Selat Singapura mesti kekal bebas dan tidak terhalang.


Beliau berkata Singapura tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang percubaan untuk menutup atau menghalang atau mengenakan tol di kawasan kejiranan mereka.


Bulan lalu, Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran dilaporkan meluluskan rang undang-undang untuk mengenakan tol transit ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, yang sedang menunggu kelulusan perundangan selanjutnya, namun AS dan negara lain menentang sebarang tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz. - Bernama.

Konflik Asia Barat: Krisis bekalan minyak kekal jadi tumpuan dunia

Konflik Asia Barat: Krisis bekalan minyak kekal jadi tumpuan dunia


Kebimbangan bekalan bahan api akan terus menjadi perhatian utama global, termasuk Malaysia, demikian menurut penganalisis. Walaupun rundingan AS dan Iran mencapai persetujuan atau jalan buntu, situasi bekalan minyak kekal menjadi perhatian utama dunia.


Justeru, harga bahan api dijangka kekal tinggi memandangkan keadaan bekalan mengambil masa untuk stabil semula jika perang tamat atau sebaliknya.


Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata senario yang paling diharapkan sudah pastinya adalah konflik berakhir di meja rundingan dan Selat Hormuz mula dibuka.


Namun, katanya, bekalan bahan api masih lagi terganggu berikutan infrastruktur sektor minyak dan gas di rantau itu terjejas teruk sambil proses pembinaan semula memerlukan masa yang agak panjang. Justeru, beliau berkata, harga bahan api dijangka kekal tinggi bagi tempoh terdekat.


"Sekiranya perang ini berakhir, sudah pasti kebimbangan utama adalah harga bahan api yang kekal tinggi dan kecukupan stok yang buat masa ini dijangka boleh bertahan sekitar dua bulan.


"Jika ini senarionya, ia menuntut suatu perubahan dalam cara satu-satu aktiviti ekonomi itu dilaksanakan. Yang utama, rakyat dan perniagaan perlu menjimatkan penggunaan bahan api," katanya.


Beliau berkata demikian mengulas mengenai persediaan Malaysia dalam mendepani kemungkinan yang timbul susulan tamatnya gencatan senjata dua minggu antara AS-Iran.


Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam percaya kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sudah melaksanakan pembinaan pelbagai senario bagi menghadapi sebarang bentuk kemungkinan susulan konflik di Asia Barat itu.


Beliau melihat pentingnya inisiatif bekerja dari rumah (BDR) buat masa ini meskipun tahap penerimaannya masih bercampur-campur berdasarkan trafik jalan raya semasa yang masih tidak berubah.


Di samping itu, katanya, kerajaan juga perlu menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan solar bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan memperkenalkan insentif tambahan sekiranya krisis di Asia Barat berpanjangan.


Sementara itu, MBSB Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh menjadi sederhana kepada 3.8 peratus hingga 4.0 peratus jika harga minyak yang tinggi dan konflik terus berlarutan dengan langkah pembendungan yang terhad.


Menurutnya, jangkaan pertumbuhan itu lebih rendah berbanding unjuran asas pihaknya sekitar paras 4.2 peratus.


Jelasnya, pelarasan unjuran itu mencerminkan jangkaan penurunan dalam perbelanjaan penggunaan swasta, memandangkan tekanan inflasi yang berpunca daripada ketegangan Asia Barat melemahkan sentimen pengguna dan perniagaan.


Katanya, pasaran buruh menghadapi rintangan apabila aktiviti yang lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan dan berorientasikan eksport, yang sensitif terhadap turun naik tidak menentu harga minyak dan kejutan harga tenaga, melemahkan permintaan keseluruhan.


"Walaupun aktiviti domestik mungkin mendapat sokongan daripada pasaran buruh yang stabil, pelarasan gaji dan pemindahan tunai kerajaan, sektor pelancongan kekal terdedah kepada peningkatan kos bahan api jet dan kapasiti penerbangan yang berkurangan," katanya.


MBSB Research berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mungkin memberikan daya tahan melalui kitaran peningkatan teknologi yang berterusan, dilengkapi dengan potensi pemulihan dalam eksport perlombongan.


Walaupun terdapat imbangan itu, ia menjelaskan bahawa prospek masih kabur oleh ketidaktentuan perdagangan global yang meningkat dan risiko tarif meluas sebanyak 15 peratus yang dikenakan oleh AS.


"Sekiranya siasatan yang sedang dijalankan (susulan dakwaan amalan perdagangan yang tidak adil dan 'kapasiti berlebihan struktur' dalam sektor perkilangan) menghasilkan penemuan buruk, pengenaan duti timbal balas akan menjejaskan prospek perindustrian Malaysia sepanjang tahun ini," katanya.

Ahad, 19 April 2026

Harga minyak dijangka kekal tinggi walaupun konflik AS-Iran reda

Harga minyak dijangka kekal tinggi walaupun konflik AS-Iran reda


Harga minyak mentah global diramal kekal tinggi walaupun resolusi peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dicapai dalam masa terdekat selepas mengambil kira keadaan bekalan di pasaran fizikal yang kekal meruncing.


Menurut nota penyelidikan terkini yang dikeluarkan oleh BIMB Securities Research, harga penanda aras Dated Brent terus didagangkan tinggi dan melepasi paras AS$120 setong. Situasi berkenaan mencatatkan harga premium sekitar AS$30 setong lebih tinggi berbanding kontrak hadapan Brent sejak awal bulan ini.


Gencatan senjata yang dipersetujui baru-baru ini sememangnya memberikan kelegaan sementara kepada sentimen pasaran kewangan. Walau bagaimanapun, perkembangan berkenaan dilihat tidak mengecilkan premium pasaran secara ketara, sekali gus membuktikan keadaan bekalan minyak fizikal masih berdepan dengan kekangan.


"Kami berpendapat bahawa premium berterusan yang dicatatkan oleh penanda aras Dated Brent berbanding kontrak hadapan mencerminkan premium risiko geopolitik serta keketatan dalam pasaran fizikal," kata Penganalisis BIMB Securities Research, Azim Faris Ab Rahim di dalam laporan berkenaan.


Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa gangguan fizikal masih jelas kelihatan merentasi sistem rantaian minyak dan gas. Sebanyak kira-kira empat hingga lima juta tong sehari bekalan telah terjejas melibatkan sektor huluan, penapisan, serta logistik.


Walaupun jumlah gangguan bekalan berkenaan dianggap tidak mendatangkan tahap kemusnahan yang teruk jika dibandingkan dengan purata permintaan global sebanyak 105 juta tong sehari, namun skop gangguan merentasi rantaian nilai terus mengekang sistem pasaran.


Sebahagian besar daripada kerosakan fasiliti diklasifikasikan sebagai tahap sederhana. Hal ini memberikan petunjuk bahawa proses pemulihan infrastruktur berkenaan masih boleh dilaksanakan, namun ia mengambil masa.


Rentetan daripada itu, aliran pengeluaran dan eksport minyak mentah dijangka mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.


Bahagian penyelidikan berkenaan menjangkakan aktiviti khususnya yang melalui Selat Hormuz hanya akan kembali normal secara beransur-ansur bermula suku ketiga tahun ini dan ke atas.


"Kami percaya pelarasan ini diperlukan untuk mencerminkan dengan lebih baik impak ekonomi sebenar daripada keadaan bekalan fizikal yang ketat, daripada terlalu bergantung kepada harga hadapan sebagai penanda aras kewangan, yang mungkin kurang menyatakan tekanan jangka pendek dalam sistem," tegas Azim Faris.


Namun begitu, kebergantungan yang melampau terhadap pasaran hadapan dibimbangi boleh menyebabkan kelekaan dan mendedahkan kedudukan pelabur kepada risiko kelemahan pasaran sebenar.


Krisis ekonomi dan gangguan rantaian bekalan fizikal yang melanda dunia masa kini tidak akan selesai sekelip mata, walaupun resolusi peperangan antara AS dan Iran dicapai dalam masa terdekat.


Keadaan ini didorong oleh realiti kerosakan besar yang telah menimpa infrastruktur tenaga di wilayah bergolak berkenaan.


Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini mendedahkan, tempoh yang panjang amat diperlukan bagi memastikan keadaan kembali ke paras normal seperti sebelum krisis meletus pada 28 Februari lalu.


Menurutnya, kesan kerosakan fasiliti di Asia Barat akan membelenggu pasaran untuk satu jangka masa yang amat membimbangkan.


"Ada kemusnahan loji dan ia mungkin mengambil masa sehingga mengambil lima tahun untuk dipulihkan. Dengan konservatif, lima tahun untuk kembali ke paras normal," katanya.


Kelewatan pemulihan ini berlaku kerana proses membaiki fasiliti pemprosesan bukanlah satu tugas yang mudah atau boleh disiapkan segera. Pemulihan tekanan telaga minyak serta pembinaan semula peralatan pemprosesan berteknologi tinggi memerlukan tempoh masa pembuatan dan pemasangan yang panjang.

Jumaat, 3 April 2026

 'Rundingan aman cara terbaik selesaikan konflik, hentikan perang' - Tun Mahathir

'Rundingan aman cara terbaik selesaikan konflik, hentikan perang' - Tun Mahathir


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil bersuara meminta dunia menghentikan peperangan. Menerusi kenyataannya hari ini, beliau menegaskan perang bukan penyelesaian kepada sebarang masalah, sebaliknya hanya membawa kepada pembunuhan besar-besaran serta kemusnahan.


"Saya sentiasa menentang perang. Saya tidak dapat menerima pembunuhan manusia sebagai penyelesaian kepada sebarang masalah, namun, perang adalah tentang membunuh manusia, pembunuhan secara besar-besaran," jelasnya.


Ujar Dr Mahathir, peperangan merupakan suatu perkara yang tidak dapat diterima kerana terdapat cara lain yang kurang membawa maut dan kosnya jauh lebih rendah untuk menyelesaikan masalah.


"Manusia dikurniakan keupayaan untuk berfikir. Cara-cara ini melibatkan rundingan, timbang tara atau mahkamah undang-undang. Dengan keupayaan berfikir, manusia boleh menilai kebaikan dan keburukan sesuatu penyelesaian.


"Jelas sekali, rundingan secara aman adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik. Hentikan perang," katanya.


Kenyataan itu dilihat hadir ketika ketegangan di Asia Barat semakin meningkat susulan tindakan ketenteraan melibatkan beberapa kuasa besar yang mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan serantau serta keselamatan global.


Ketegangan geopolitik di Asia Barat terus memuncak apabila tindakan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran mencetuskan siri serangan balas yang semakin meluas di rantau itu.


Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu menyaksikan serangan udara terkoordinasi oleh AS dan Israel ke atas beberapa sasaran strategik di Iran, termasuk kemudahan nuklear serta infrastruktur ketenteraan utama.


Sejak itu, Israel meningkatkan operasi ketenteraan dengan melancarkan ratusan serangan udara ke atas sasaran berkaitan Iran, termasuk kemudahan peluru berpandu, pangkalan tentera dan sistem pertahanan udara.


Dalam perkembangan terbaharu, serangan tersebut turut melibatkan kawasan di Tehran serta sasaran di luar Iran, termasuk Beirut, sekali gus memperluas skala konflik serantau.


Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu ke arah Israel serta negara Teluk, selain memberi amaran keras terhadap sebarang operasi darat oleh AS dan sekutunya.


Menurut laporan, konflik kini memasuki fasa lebih berbahaya apabila kedua-dua pihak mula menyasarkan infrastruktur tenaga dan ekonomi, termasuk loji gas, penapisan minyak serta kemudahan industri strategik.


Perkembangan itu turut menyebabkan gangguan besar terhadap perdagangan global apabila laluan penting seperti Selat Hormuz terjejas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dunia.


Di peringkat serantau, konflik semakin melebar apabila sekutu Iran seperti kumpulan Houthi di Yemen dan Hezbullah di Selatan Lubnan turut terlibat melancarkan serangan ke arah Israel, manakala beberapa negara Teluk menjadi sasaran serangan balas.


Iran pula menegaskan kesediaannya untuk berdepan perang jangka panjang, sambil memberi amaran akan meningkatkan lagi serangan sekiranya tekanan ketenteraan berterusan.


Sementara itu, kepimpinan AS memberi bayangan kemungkinan tindakan ketenteraan lebih agresif dalam tempoh terdekat, sekali gus meningkatkan risiko konflik berskala besar di Asia Barat.

Jumaat, 27 Mac 2026

Kira-kira 1,900 kapal terkandas di sekitar Selat Hormuz

Kira-kira 1,900 kapal terkandas di sekitar Selat Hormuz


Kira-kira 1,900 kapal komersial terkandas di Selat Hormuz, terutamanya di Teluk Parsi, sejak bermulanya serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Susulan permulaan serangan itu, Tehran bertindak menutup laluan air penting berkenaan kepada kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan negara penyerang, sekali gus menyebabkan trafik maritim di selat itu terhenti sepenuhnya.


Kapal-kapal di rantau berkenaan yang sedang bersiap sedia untuk melalui selat itu tidak dapat berbuat demikian berikutan ketegangan ketenteraan, dengan sebahagian besar kapal yang terkandas terpaksa melabuhkan sauh di perairan terbuka.


Tehran menyatakan bahawa kapal dari negara selain AS dan Israel dibenarkan melalui Selat Hormuz selagi mereka tidak menyertai atau menyokong pencerobohan terhadap Iran, serta mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan dan perlindungan.


Jurucakap markas bersepadu angkatan tentera Iran, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, Ebrahim Zolfaqari pada Rabu berkata pihak Iran telah mengubah peraturan di selat berkenaan dan keadaan tidak akan kembali seperti sebelum perang, sambil menegaskan tiada entiti yang dikaitkan dengan AS dan Israel mempunyai hak untuk melaluinya.


Setakat 20 hingga 22 Mac, kira-kira 1,900 kapal tidak dapat bergerak di sekitar Selat Hormuz, menurut pengesan kapal masa nyata, MarineTraffic.


Antara yang terkandas termasuk 324 kapal pengangkut pukal, 315 kapal pengangkut produk minyak/kimia, 267 kapal pengangkut produk petroleum, dan 211 kapal tangki minyak mentah.


Menurut firma analitis Vortexa, kira-kira 190 juta tong minyak mentah dan produk petroleum berada di atas kapal tangki yang terkandas di rantau itu.


Sementara itu, 177 kapal kargo am, 174 kapal kontena, 98 kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG), 42 kapal pengangkut asfalt/bitumen, 37 kapal angkat berat, dan 34 kapal tangki LPG/kimia turut berada di rantau berkenaan, manakala bakinya terdiri daripada jenis lain seperti kapal kargo Ro-Ro dan kapal tangki bekalan bahan api.


Syarikat Hapag-Lloyd dari Jerman baru-baru ini melaporkan bahawa enam buah kapalnya tidak dapat beroperasi di Teluk Parsi di tengah-tengah ketegangan yang berlaku.


Pengarah analisis maritim di Majlis Maritim Baltik dan Antarabangsa, Filipe Gouveia memberitahu Anadolu bahawa kesan pemberhentian trafik maritim terhadap pasaran maritim dan kadar tambang akan bergantung kepada pelbagai faktor.


Gouveia menyatakan bahawa perkembangan harga bahan api, tempoh penutupan selat, dan jumlah kapal yang dibenarkan oleh Iran untuk melaluinya akan menjadi faktor penentu, sementara ketegangan di rantau itu kini mula menjejaskan kadar tambang.


Kenaikan itu amat ketara dalam pasaran kapal tangki, termasuk kapal tangki minyak mentah dan produk petroleum.


Beliau berkata, sejak 27 Februari, Indeks Kapal Tangki Kotor Baltik meningkat 49 peratus dan Indeks Kapal Tangki Bersih Baltik sebanyak 78 peratus setakat 20 Mac, dengan kadar tambang dalam pasaran kontena turut melonjak.


Kenaikan kos bahan api dan pengumuman surcaj bahan api kecemasan oleh syarikat perkapalan turut menyumbang kepada peningkatan itu.


Beliau berkata dalam keadaan normal, 30 peratus daripada eksport minyak melalui laut global, empat peratus kargo pukal kering, dan tiga peratus jumlah kontena melalui Selat Hormuz, manakala hanya sebahagian kecil eksport dari Teluk Parsi boleh diperoleh daripada sumber alternatif, selain laluan darat alternatif tidak mempunyai kapasiti untuk memenuhi keperluan jumlah kargo biasa.


Gouveia berkata sekitar 5.5 peratus daripada armada kapal tangki dunia dan 1.5 peratus daripada armada kargo kering kontena dianggarkan berada di Teluk Parsi pada masa ini.

Rabu, 25 Mac 2026

Jangan pandang enteng soal keselamatan negara, PDRM perlu siap siaga - PM

Jangan pandang enteng soal keselamatan negara, PDRM perlu siap siaga - PM


Perdana Menteri mengarahkan pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meningkatkan tahap keselamatan susulan krisis geopolitik di Asia Barat.


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Malaysia tidak terancam secara langsung ketika ini, namun tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan perlu dipertingkatkan memandangkan krisis terbabit telah merebak ke semua negara bukan sahaja di rantau Asia Barat.


Malah perkara itu turut menjadi agenda penting semasa mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara semalam dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pagi tadi.


"CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Petronas turut memberikan penjelasan. Ia bukan isu yang mudah, tetapi isu yang berat. Tetapi bagi PDRM, lebih utama ialah kesan keselamatan.


"Dalam keadaan kacau ini, jangan anggap kita terasing. Jadi harus waspada, saya berikan maklumat ini kerana saya juga mendapat penjelasan, pencerahan dari rakan-rakan kita di peringkat antarabangsa.


"Selain daripada badan-badan risikan kita dan percayalah jangan pandang ringan dan enteng soal isu keselamatan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Polis ke-219 di Pulapol hari ini.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua pemimpin termasuk PDRM perlu merangka strategi baru untuk memastikan keselamatan rakyat dan negara sentiasa terkawal.


"Mungkin dalam majlis begini terlalu umum (untuk jelaskan isu keselamatan), tidak dapat saya cerahkan (huraikan) secara terperinci.


"Tapi percayalah, banyak kesilapan paling besar negara-negara dunia adalah mereka berasa sangat selesa. Sehingga menyebabkan mereka cuai untuk menjamin keamanan," ujarnya.