Ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa atas lima kes memberi rasuah lebih RM180,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan bahawa pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan semata-mata untuk kepentingan politik.
Sebaliknya, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, berkata, pertemuan mereka di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya lebih seminggu lalu, tidak lebih kepada mahu mendapatkan nasihat berhubung dakwaan rasuah yang dihadapinya.
Menurutnya, tiada hubungan rapat antara tokoh politik tersebut memandangkan mereka hanya bertemu buat kali pertama.
Katanya, ketika perjumpaan selama satu jam itu, Dr Mahathir yang berusia 100 tahun tidak menunjukkan sebarang masalah pendengaran sebaliknya tekun mendengar penjelasan yang diberi.
"Ada pihak mendakwa saya mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir malah kata saya telah menjadi anak angkatnya.
"Walaupun itu yang saya impikan tetapi hakikatnya tidak jadi, saya harap nama kami dapat dibersihkan daripada spekulasi sedemikian," katanya.
Usahawan itu berkata, dalam pertemuan tersebut Dr Mahathir memintanya meneruskan pendedahan berkenaan.
Pada Khamis, Albert mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan memberi rasuah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 2023 dan tahun lalu.
Pada Jumaat (hari ini), dia didakwa lagi atas satu kes memberi rasuah sebanyak RM64,924 untuk bayaran penyewaan rumah.
Sebelum ini, timbul dakwaan seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Berikutan itu, Shamsul Iskandar dan Albert direman enam hari sehingga 4 Disember, sementara seorang lagi individu dikenali Sofia Rini Buyong selama empat hari bagi membantu siasatan.

EmoticonEmoticon