Jumaat, 5 Disember 2025

Kekalahan DAP di Sabah isyarat penolakan kaum Cina, peniaga - Azmin


Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, menganggap kekalahan besar DAP dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini sebagai satu penolakan daripada golongan peniaga dan masyarakat Cina.


Ia susulan keputusan yang menyaksikan DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi, kebanyakannya di kawasan bandar dengan bilangan pengundi Cina yang besar, manakala PH hanya menang satu kerusi secara keseluruhan.


"Keputusan yang dibuat oleh masyarakat perniagaan, khususnya pengundi Cina yang menolak DAP dan PH, adalah isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan yang signifikan bagi menjamin masa depan Malaysia," kata Azmin dalam satu kenyataan malam tadi.


Bagaimanapun, Azmin tidak menyebut bahawa gabungannya, PN turut mengalami keputusan yang buruk dalam pilihan raya tersebut.


PN hanya memenangi satu daripada 42 kerusi yang ditandingi, dengan kemenangan tunggal datang daripada PAS. Sementara itu, daripada 42 calon PN, 36 calon hilang wang deposit mereka.


Susulan kekalahan tersebut, sekurang-kurangnya 20 daripada 24 bahagian Bersatu Sabah dilaporkan menuntut peletakan jawatan Presiden parti, Muhyiddin Yassin.


Kenyataan Azmin itu dikeluarkan selepas selesai mesyuarat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.


Mesyuarat itu membincangkan keputusan pilihan raya negeri Sabah serta kebimbangan mengenai implikasi ekonomi susulan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat pada 26 Oktober.


Dalam pada itu Azmin berkata IPR akan menganjurkan konvensyen Rakyat 'Selamatkan Malaysia' pada awal tahun depan, yang akan melibatkan semua anggota gabungannya.


Dia berkata konvensyen itu akan membincangkan dasar ekonomi termasuk kos sara hidup, pendidikan, keselamatan negara, dan perpaduan rakyat.


Azmin berkata IPR bersedia menawarkan dasar yang progresif bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat. - Sumber Malaysia Kini.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon