Ahad, 7 Disember 2025

MCA ada jalan sendiri, tapi PAS jadikan PN bukan pilihan - Wee Ka Siong


MCA memberi bayangan bahawa parti itu tidak akan bersama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan ideologi parti komponennya iaitu Pas yang masih sukar diterima oleh majoriti masyarakat Cina.


Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kenyataan berbaur kontroversi yang dibuat oleh sebahagian pemimpin Pas merupakan antara faktor utama parti bukan Islam menjauhkan diri daripada PN.


Ujar Ka Siong, kenyataan tersebut mencerminkan pendekatan konservatif dan menyinggung perasaan penganut agama lain.


"Ada (pihak) mencadangkan supaya menyertai PN tetapi kami amat jelas bahawa masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu.


"Melainkan, jika Pas membuat pembaharuan dalam parti, menjadi lebih moderat dan diterima oleh masyarakat majmuk.


"Jika tidak, faktor tersebut tetap menghindar parti bukan Islam untuk sehaluan dengan PN," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA, Wisma MCA, di Kuala Lumpur hari ini.


Sebelum ini, beberapa pemimpin MCA turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap hubungan akrab UMNO-DAP yang dilihat bercanggah dengan pendirian politik lama parti itu.


Kemudian, perwakilan MIC pada 16 November lalu pula memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.


Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima, diluluskan dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).


Menurut Ka Siong, sentimen penolakan masyarakat bukan Islam terhadap Pas semakin meningkat sejak parti itu memutuskan hubungan dengan DAP hampir satu dekad lalu.


Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan UMNO menjalinkan kerjasama politik di luar Barisan Nasional (BN), khususnya dengan DAP dan memberi amaran bahawa MCA tidak akan berdiam diri jika asas perjuangan gabungan tersebut terus terhakis.


"Pendirian MCA jelas iaitu tiada kerjasama dengan DAP. Jika UMNO terus meneroka kerjasama luar BN sehingga menjejaskan identiti gabungan ini, MCA akan menilai semula kedudukan kami.


"Kita akan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan parti. Setiap isu yang berkaitan dasar dan hala tuju MCA akan dibincang dan diputuskan sewajarnya oleh Jawatankuasa Pusat pada masa yang tepat," ujarnya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon