Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud trend masa kini yang mengagung-agungkan pemberi rasuah dan keadaan itu sangat menggusarkan dalam usaha kerajaan mahu membanteras rasuah.
"Ada pihak yang terlalu mendewa-dewakan dan mengagung-agungkan sesetengah susuk hingga menghakis nilai kemanusiaan.
"Mereka mengagung-agungkan pemberi suapan dan keadaan itu menggusarkan. Kita kata benci rasuah, tetapi apabila tindakan diambil dan kalau kena pada kawan, kita akan marah.
"Disebabkan (trend) ini kita tidak akan mampu mengangkat negeri dan negara kita," katanya berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena Himpunan Bulanan kementerian berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, nilai kemanusiaan, ihsan dan saling menghormati sesama makhluk sangat penting untuk ditekankan semua pihak demi kelangsungan negara.
"Kasih pertamanya kepada manusia, seterusnya haiwan, pohon, bukit-bukau dan bumi yang kita pijak. Jika ini dimaknai dan diamalkan, nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat serta kasih sayang-Nya kepada kita.
"Bayangkan, setiap hari kita kerja, setiap design (rekaan) dilakar dan kaedah baharu diperkenalkan, setiap usaha ini mempercepat untuk menyiapkan (projek). Yang di langit akan curahkan rahmat kepada kita.
"Bayangkan, kita buat jambatan dengan niat ikhlas dan bersih tanpa mengira komisen, rasuah serta penyelewengan. Ia dilaksanakan secara terbaik dengan kos yang ada, untuk faedah manusia, dengan harapan dan niat kasih sayang pada manusia.
"Ini bukan saya kata, ini hadis Nabi Muhammad SAW," katanya.


EmoticonEmoticon