Sabtu, 6 Disember 2025

Awie syukur dua anak genggam ijazah di MSU


Pendidikan dan masa depan anak-anak tetap menjadi keutamaan vokalis kumpulan Wings, Awie walau apapun terjadi dalam kehidupan dan kerjayanya.


Demikian pendirian pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman, 57, ketika ditemui dalam majlis graduasi dua anaknya sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Management and Science University (MSU) di Dewan Canselor MSU, hari ini.


Kata Awie, kegembiraannya pada hari ini berganda kerana kedua-dua anaknya diangkat penerima Anugerah Presiden dan Anugerah Dekan.


Anaknya, Putri Aleeya Antasha, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara dan Putri Aleefa Antasha, 23, Ijazah Sarjana Muda Fotografi dan Video Kreatif adalah antara 2,453 graduan daripada 128 program akademik yang diraikan majlis itu.


Alhamdulillah syukur, selesai graduasinya. Anak sulung saya (terima anugerah) President's List dan kedua Dean's List. Satu kebanggaan buat saya dan isteri.


"Saya memang mementingkan pelajaran anak-anak saya. Macam mana sekalipun, apa yang berlaku dalam hidup saya, apa yang berlaku dalam kerjaya saya, anak-anak saya ini saya utamakan pelajaran dulu.


"Apa yang mereka mahu untuk pelajaran mereka, saya akan cuba hidangkan sebaik mungkin. Alhamdulillah mereka ini digalakkan dari kecil untuk membaca, belajar dan sebagainya. Dan mereka mempunyai minat belajar sampailah ke hari ini.


"Insya Allah anak saya ini mungkin akan menyambung di peringkat ijazah sarjana," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, di Shah Alam hari ini.


Katanya, selain Aleeya dan Aleefa, anak lelakinya, Putra Ahmad Merrah kini menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pengajian Perniagaan.


"Alhamdulillah, syukur saya dapat anak-anak yang mahu mendengar kata dan mahu mengikut apa dirancangkan, tetapi biar rancangan itu sama rata, mereka mahu dan kita mahu.


"Kalau kita sahaja mahu, mereka tidak mahu pun susah juga. Jadi bila berbincang, saya dengan anak-anak macam kawan, kita berbincang elok-elok.


"Mereka tanya apa hendak buat, apa arah tuju dan ke mana hendak pergi. Jadi saya bagi idea, mereka setuju dan mereka memulakan langkahnya, malah saya sudah menyiapkan mereka dengan syarikat masing-masing untuk diuruskan," katanya.


Sementara itu, Putri Aleefa berkata, dia teruja dapat menggembirakan ayah dan ibunya dengan kejayaan diraih dalam pendidikan.


"Saya kini bekerja sebagai krew produksi bebas. Saya akan kerja dengan mana-mana syarikat produksi yang minat mengambil perkhidmatan saya.


"Impian saya untuk menjadi penerbit filem pada masa akan datang. Ayah (Awie) ada juga minta saya berlatih tulis skrip sebagai persediaan ke arah itu (menerbit filem)," katanya.


Awie bersama dua anak perempuannya, Putri Aleefa dan Putri Aleeya serta isterinya, pada majlis konvokesyan di MSU, Shah Alam hari ini. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon