Jumaat, 15 Ogos 2025

10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Pulau Pinang, kira-kira 1,600 warga kapal


Sebanyak 10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT) di Georgetown hari ini, bagi menyertai acara ketenteraan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.


Kesemuanya melibatkan tujuh kapal perang tentera laut ASEAN dan tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan keseluruhan kira-kira 1,600 warga kapal.


Tinjauan Bernama mendapati tiga kapal perang TLDM iaitu KD Kedah sepanjang 91 meter (m), KD Lekiu (106.5m) dan KD Lekir (98m) mendahului ketibaan kapal lain di SPCT.


Seterusnya kapal perang tentera laut dari Singapura iaitu RSS Vigour, UMS King Sin Phyu Shin (Myanmar), BRP Antonio Luna (Filipina), KRI Bung Tomo (Indonesia), VPNS Quang Trang (Vietnam), HTMS Krabi (Thailand) dan KPD Darulaman dari Brunei.


Kapal-kapal berkenaan berlabuh di SPCT dari 9.15 pagi hingga 1.45 tengah hari dan disambut dengan tradisi ketenteraan dan delegasi TLDM serta diiringi persembahan pancaragam.


Tinjauan di kawasan Padang Kota yang terletak kurang 200m dari SPCT mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat armada tersebut termasuk merakamkan detik ketibaan aset tentera laut negara-negara ASEAN itu.


Kapal-kapal berkenaan juga dibuka untuk lawatan umum pada Ahad ini iaitu pengunjung berpeluang menaiki kapal dan melihat sendiri keupayaan serta teknologi digunakan angkatan tentera laut serantau.


Pulau Pinang menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran TLDM dari 15 hingga 22 Ogos, melibatkan tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.


Acara berkenaan ialah Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga dan ASEAN Fleet Review (AFR) yang akan berlangsung di sekitar George Town dan Batu Ferringhi, yang turut membuka ruang keterlibatan masyarakat awam.


Bernama sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata program bermula dengan ketibaan kapal tentera laut ASEAN di SPCT.


Esok, Majlis Pembukaan AMNEX dan permulaan Fasa Pelabuhan AMNEX ketiga akan berlangsung bagi memberikan ruang serta peluang kepada semua pegawai operasi kapal untuk membincangkan dan memperhalusi perancangan latihan yang akan dilaksanakan sewaktu Fasa Laut AMNEX.


TLDM juga akan menganjurkan Persidangan Kejuruteraan Tentera Laut (NEC) iaitu forum ilmiah menghimpunkan jurutera tentera laut serantau untuk berkongsi ilmu mengenai perkembangan teknologi serta inovasi kejuruteraan dengan tema Innovation and Technology Towards Improving Ship Survivability at Sea.


Antara acara utama dibuka kepada orang awam ialah ASEAN Navies' City Parade (ANCP) iaitu inisiatif TLDM bagi mempromosikan tradisi tentera laut kepada masyarakat umum pada Ahad ini di Esplanade, Padang Kota Lama yang diadakan bersama Hari Buletin 4.0 anjuran kerajaan negeri.


Penganjuran ANCP di Pulau Pinang memiliki signifikan sejarah kerana mengimbau detik pelaksanaan International Royal Fleet Review (IRFR) pada Mei 1990 yang melibatkan 59 kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara.


Sebanyak 10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT) hari ini, bagi menyertai acara ketenteraan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. - Foto Bernama.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon