Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal apabila sebahagian maklumat sebenar mengenai dasar dan pencapaian kerajaan tidak sampai kepada rakyat seperti diharapkan.
Menurut beliau, usaha kerajaan sering kali tenggelam kerana kandungan bersifat negatif lebih mudah mendapat perhatian di media sosial.
"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid kata ada 140 ikhtiar atau inisiatif baharu. Sebenarnya kalau kita kira 167 kesemuanya, tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak.
"Apa yang sampai itu hanya 'sampah', sumpah dan maki hamun kerana ini negara demokrasi dan bebas... media sosial itu digunakan tidak untuk membina, tetapi untuk menghina," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri berkata, keadaan itu menyebabkan gambaran tidak tepat timbul seolah-olah kerajaan tidak melakukan sebarang pembaharuan.
Beliau menjelaskan, penyebaran maklumat yang tidak seimbang hanya memburukkan persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan.
Sehubungan itu, Anwar menggesa penjawat awam untuk memainkan peranan aktif dalam memberi penerangan dan memastikan maklumat tepat dapat disalurkan kepada orang ramai.
"Tugas kita menyampaikan apa yang dilakukan dan menegur atau mencadang apa yang perlu ditambah, yang perlu diperbaiki," ujarnya.
Beliau berkata, Kerajaan Madani tidak menolak kritikan, sebaliknya memerlukan teguran yang berasaskan fakta untuk memperkukuh pelaksanaan dasar.
Anwar turut mengakui terdapat rakyat yang tidak sabar menunggu hasil pelaksanaan projek tertentu dan memerlukan penjelasan yang konsisten daripada pihak kerajaan.
"Saya tak salahkan rakyat… kadang-kadang dia tak sabar menunggu, jadi kena jelaskan," katanya. - Sumber Awani.

EmoticonEmoticon