Sabtu, 20 Januari 2024

Jepun beli 400 peluru berpandu jarak jauh buatan AS

 

Jepun menandatangani perjanjian membeli 400 peluru berpandu jarak jauh jenis Tomahawk buatan Amerika Syarikat (AS) pada hari Khamis, 18 Januari ketika Tokyo meningkatkan keupayaan ketenteraan untuk menangkis ancaman keselamatan serantau.


Kerajaan Jepun telah berjanji untuk menggandakan perbelanjaan pertahanan tahunannya kepada sekitar AS$68 bilion menjelang 2027, yang akan menjadikan Jepun dengan pembelanjaan ketenteraan ketiga terbesar di dunia selepas AS dan China.


Pembelian 400 peluru berpandu itu menelan kos AS$2.35 bilion (RM11.09 bilion) untuk dua jenis Tomahawk, setiap satu mempunyai jarak sasaran sejauh 1,600 kilometer. Ia diluluskan oleh Washington pada November 2023.


"Melalui pelaksanaan bajet (pertahanan) yang baik, kami akan memperkukuhkan keupayaan pertahanan kami secara meluas," kata seorang pegawai Jepun selepas perjanjian itu ditandatangani di Tokyo.


Kerajaan berkata Jepun menghadapi persekitaran keselamatan yang 'paling teruk' sejak Perang Dunia Ke-2 kerana ancaman daripada China yang semakin meningkat dan ancaman senjata nuklear Korea Utara.


Penandatanganan perjanjian pembelian pada Khamis dihadiri oleh Kihara dan Duta Besar AS ke Jepun, Rahm Emanuel.


Jepun dan AS bersetuju untuk mempercepatkan penempatan peluru berpandu itu "sebagai tindak balas kepada persekitaran keselamatan yang semakin teruk," kata Kihara.


Emanuel berkata latihan anggota perkhidmatan Jepun untuk misil Tomahawks akan bermula pada Mac. - Sumber AP News.


Pegawai tentera Jepun dan AS dan Duta Besar AS ke Jepun Rahm Emanuel (keempat kiri) dan Menteri Pertahanan Jepun Minoru Kihara (ketiga kanan) berdiri di belakang pegawai perolehan peralatan pertahanan ketika beliau menandatangani dokumen untuk perjanjian pembelian Tomahawk di Kementerian Pertahanan Jepun, di Tokyo, Khamis, 18 Jan 2024. - Foto AP/Mari Yamaguchi.


EmoticonEmoticon