Sabtu, 20 Januari 2024

Sayap kiri terbakar di udara, pesawat kargo terpaksa melakukan pendaratan kecemasan


Sebuah pesawat kargo melakukan pendaratan cemas sejurus berlepas dari sebuah lapangan terbang di Miami, Florida kerana mengalami kerosakan enjin, lapor saluran berita Fox News pada 19 Januari 2024.


Pesawat syarikat penerbangan Atlas Air, Boeing 747-8 itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Miami (MIA) menuju ke Puerto Rico pada hari Khamis kira-kira jam 10.11 malam (waktu tempatan).


Beberapa saksi kejadian melihat api pada sayap kiri pesawat itu ketika ia berada di udara. Tidak lama kemudian, pesawat berkenaan berpatah balik setelah mengalami kerosakan enjin dan berjaya mendarat dengan selamat dalam tempoh satu jam perjalanan, kata jurucakap Atlas Air.


"Kakitangan penerbangan mengikuti semua prosedur standard dan selamat kembali ke MIA," tambah kenyataan itu.


Atlas Air juga memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh untuk menentukan punca kerosakan.


Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan selepas penerbangan mendedahkan penemuan lubang bersaiz sebiji bola lisut pada enjin pesawat itu.


Miami-Dade Fire Rescue (MDFR) memberitahu Fox News Digital bahawa pesawat itu mendarat dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.


Bilangan anak kapal yang berada di dalam pesawat ketika kejadian tidak didedahkan. - Sumber Fox News.


Kebakaran dilihat pada Boeing 747-8 sejurus selepas ia berlepas dari lapangan terbang. - Foto JASON REDMOND/AFP.


EmoticonEmoticon