Ahad, 21 Januari 2024

Polis menyelamatkan lelaki yang berpaut pada kereta isteri curang dipandu sejauh 15 kilometer


Seorang pegawai polis menyelamatkan seorang lelaki Thailand yang berpaut di atas bumbung kereta dipandu isterinya sejauh 15 kilometer (km) di Lebuhraya Asia di wilayah tengah Ayutthaya berikutan pertikaian yang dicetuskan oleh rasa cemburu.


Lans Koperal Tiwa Puttakawee daripada Balai Polis Phrain Racha terserempak dengan kejadian itu ketika memandu pulang pada hari Rabu, 17 Januari.


Tiwa ternampak seorang lelaki warga Thailand, yang kemudian dikenali sebagai Sittipunt berusia 40 tahun, berpaut pada sebuah kereta berwarna merah.


Tiwa mengarahkan isteri Suttipunt iaitu Sunan, 39, memberhentikan kenderaan. Kereta itu turut dinaiki teman lelaki Sunan yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan.


Ketika disoal polis, Sittipunt sambil menangis memberitahu dia berkahwin dengan Sunan, 20 tahun lalu dan mempunyai tiga anak bersama, namun rumah tangga mereka berantakan.


Ketika hari kejadian, mereka sepatutnya bertemu untuk menandatangani dokumen perceraian, sebelum masalah berlaku yang membawa kepada insiden terbabit.


Dakwanya, isterinya sebelum ini kerap menipu dan menjalin hubungan terlarang tetapi sering dimaafkan, sehingga Sunan bertemu kekasih yang dikenali di TikTok dan meminta cerai.


Sittipunt akhirnya bersetuju untuk bercerai dan meminta Sunan memenuhi permintaan terakhirnya untuk mereka meluangkan masa bersama-sama.


Malangnya, Sunan mungkir janji apabila keluar dengan teman lelakinya dan Sittipunt terserempak dengan kenderaan mereka di lebuh raya, serta mengarahkan isterinya supaya berhenti untuk berbincang.


Sittipunt kemudian melanggar kereta Sunan dalam usaha menghentikan kereta itu, sebelum keluar dari kenderaannya untuk menghampiri wanita berkenaan.


Bagaimanapun, Sunan nekad memandu menyebabkan Sittipunt berpaut pada kereta wanita itu sejauh 15 km dan diancam dengan pemanduan laju agar dia jatuh.


Sunan pula mendakwa Sittipunt sebelum ini pernah mengugut untuk mencederakannya. Dia tidak berbincang kerana bimbang Sittipunt akan menyerangnya dan berbanding menerima tawaran lelaki itu, Sunan memilih untuk keluar bersama teman lelakinya demi keselamatan.


Ketiga-tiga mereka telah dibawa ke Balai Polis Bang Pa-in untuk menyelesaikan perkara itu. Pegawai tidak mendedahkan sama ada mereka dapat mencapai persetujuan atau tidak. - Sumber The Thaiger.


Sittipunt yang dilihat berpaut pada bumbung kereta dipandu isterinya sebelum diselamatkan polis. - Foto KhaoSod.


EmoticonEmoticon