Rabu, 4 Februari 2026

Kerjasama DRB-HICOM, Geely terbukti langkah penting selamatkan PROTON


Kerjasama strategik antara DRB-HICOM Bhd dan Geely Holding yang dimeterai pada Mei 2017 terbukti menjadi langkah penting dalam menyelamatkan dan memulihkan hala tuju Proton Holdings Bhd (PROTON) sebagai jenama kereta nasional, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Beliau berkata, perjanjian pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan PROTON oleh Geely Holding itu dibuat dalam keadaan yang mencabar serta menerima pelbagai pandangan berbeza.


"Pada Mei 2017, semasa saya menjawat jawatan Menteri Kewangan II, saya menyaksikan pemeteraian perjanjian antara DRB-HICOM dan Geely Holding bagi pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON.


"Pada ketika itu, keputusan ini menimbulkan pelbagai pandangan yang berbeza, namun ia adalah satu intervensi yang perlu bagi melindungi jenama kereta nasional tanpa membebankan pembayar cukai," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Proton e.MAS 7 PHEV di Kuala Lumpur hari ini.


Johari berkata, sembilan tahun selepas kerjasama strategik itu dimeterai, kesannya kini jelas apabila PROTON berjaya membalikkan kerugian kewangan bertahun-tahun dan memulihkan keyakinan orang ramai melalui pengenalan model yang mendapat sambutan pasaran, termasuk PROTON X70.


Beliau berkata, pemulihan itu turut diterjemahkan melalui peningkatan penguasaan pasaran PROTON, yang meningkat daripada 11 peratus pada 2018 kepada 19 peratus tahun lalu, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik berkenaan.


Katanya, PROTON kini mengekalkan kehadiran kukuh dalam sektor automotif negara dengan menggajikan lebih 55,000 tenaga kerja, disokong rangkaian vendor tempatan yang luas merentasi rantaian bekalan industri.


"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, PROTON turut meningkatkan tahap lokalisasi apabila nilai perolehan tempatan meningkat daripada 53 peratus pada 2021 kepada 67 peratus pada 2025, selari usaha memperkukuh ekosistem industri automotif domestik," katanya.


Beliau berkata, transformasi PROTON melalui kerjasama DRB-HICOM dan Geely juga berlaku seiring perubahan struktur pasaran, apabila jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) mencatat pertumbuhan 52 peratus pada 2025.


"Perkembangan ini menyaksikan xEV merangkumi 8.5 peratus jualan kenderaan baharu, manakala kenderaan hibrid dan elektrik membentuk 8.7 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta pada tahun berkenaan," katanya.


Dalam konteks lebih luas, Johari berkata, sektor automotif kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan sumbangan dianggarkan lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kira-kira RM82 bilion, selain menyokong lebih 700,000 peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan berteknologi tinggi.


"Industri itu turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Malaysia merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) tertinggi dalam sejarah pada 2025 sebanyak 820,752 unit, disokong purata pengeluaran melebihi 750,000 unit setahun bagi tempoh 2022 hingga 2025," katanya.


EmoticonEmoticon