Jumaat, 26 Disember 2025

Bertenang, serah kepada kebijaksanaan Raja Perlis - Hamzah


Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menggesa semua pihak bertenang berhubung perkembangan politik di Perlis dan menyerahkan keputusan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.


Beliau berkata, segala keputusan dan pendirian politik di negeri terbabit juga harus berpaksikan kepentingan rakyat, negeri dan demi kestabilan jangka panjang.


Katanya, rakyat ketika ini menaruh keyakinan penuh terhadap keputusan dan kebijaksanaan Raja Perlis.


"Baginda akan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa prerogatif baginda selaras dengan Perlembagaan Negeri bagi menentukan pelantikan Menteri Besar baharu.


"Keutamaan adalah bagi memastikan Kerajaan Negeri Perlis terus berfungsi dengan baik dan dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kebajikan serta keperluan rakyat, selaras dengan mandat dan harapan yang diberikan kepada Perikatan Nasional pada PRU15 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, berkuat kuasa hari ini.


Beliau mempersembahkan surat letak jawatan sebagai Menteri Besar kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, tengah hari semalam.


Mohd Shukri adalah Menteri Besar Perlis ke-11, dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.


Perkembangan itu menyusul selepas berlegar dakwaan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.


Berikutan itu, satu mesyuarat khas diadakan di Ibu Pejabat PAS dan hasilnya, keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu dilucutkan berkuat kuasa serta-merta.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon