Seorang lelaki dipercayai mabuk bertindak menimbulkan kekecohan di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya dalam kejadian pada Sabtu.
Suspek kemudian bertindak mengganggu seorang pekerja di kedai serbaneka terbabit sehingga berlaku pergaduhan antara kedua-dua individu itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 3.26 petang.
"Laporan dibuat oleh mangsa yang mendakwa suspek memasuki premis berkenaan dalam keadaan mabuk sebelum mengganggunya.
"Pergaduhan kemudiannya berlaku antara kedua-dua individu di dalam premis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, polis turut mengesan satu video berkaitan insiden tersebut yang tular di media sosial.
"Permohonan arahan untuk meneruskan siasatan akan dibuat bagi tujuan tindakan lanjut.
"Suspek serta saksi yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial selain tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar berhubung insiden ini.
"Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya," katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya.

EmoticonEmoticon