Sabtu, 31 Januari 2026

Lagi desakan Muhyiddin lepas jawatan presiden BERSATU


Lagi desakan pemimpin akar umbi meminta Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai peneraju parti berkenaan.


Ketua BERSATU Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata ia penting bagi menjernihkan kembali hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS, sekali gus memperkukuhkan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


"Sebagai Ketua BERSATU Bahagian Dungun, saya menyatakan kebimbangan serius terhadap kegagalan kepimpinan tertinggi parti, khususnya Muhyiddin dalam menjaga keharmonian dan hubungan strategik dengan rakan komponen PN.


"Perkembangan ini bukan saja mencetuskan ketegangan dalaman, malah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ramai pemimpin PAS terhadap tindakan dan pendekatan yang diambil beliau.


"Lebih membimbangkan, Muhyiddin dilihat sudah kehilangan arah kepimpinan apabila cuba memanipulasi keadaan dalam PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Abdul Aziz berkata, Muhyiddin sebelum ini sudah meletakkan jawatan Pengerusi PN, namun kini kelihatan seolah-olah ingin kembali menguasai jawatan itu, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan ketidakstabilan dalam struktur kepimpinan gabungan.


Katanya, persepsi rakyat semakin negatif apabila wujud gambaran Muhyiddin tidak memberi ruang kepada mana-mana pemimpin lain menerajui jawatan itu, sebaliknya seolah-olah mahu memastikan jawatan berkenaan tidak disandang oleh sesiapa sekiranya bukan beliau sendiri, termasuk melalui tindakan memansuhkan jawatan itu.


"Keadaan ini menimbulkan persoalan besar terhadap nilai kepimpinan, keikhlasan perjuangan dan keutamaan sebenar dalam perjuangan politik, sama ada ia benar-benar demi rakyat dan kestabilan negara atau sekadar berteraskan kepentingan kuasa dan kedudukan peribadi.


"Saya ingin menegaskan PN hanya akan kekal relevan dan diyakini rakyat sekiranya ia dipimpin dengan semangat kebersamaan, saling menghormati antara parti komponen, serta mengutamakan kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan berjiwa besar," katanya.


EmoticonEmoticon