Sabtu, 24 Januari 2026

Remaja hilang sejak 3 tahun lalu hubungi keluarga minta diselamatkan di Kemboja


Seorang remaja lelaki yang hilang sejak tiga tahun lalu akibat ditipu, akhirnya menghubungi keluarga dan meminta pertolongan untuk diselamatkan selepas berjaya melarikan diri daripada kem sindiket penipuan.


Bapanya yang juga seorang penoreh getah, hanya mahu dikenali sebagai Ng, berkata anaknya baru berusia 18 tahun ketika meninggalkan rumah pada Oktober 2022 dan memaklumkan kepada ibunya dia mendapat pekerjaan sebagai pekerja restoran di Kepong.


"Bagi beberapa bulan pertama, dia sentiasa berhubung dengan kami dan pesan supaya jangan risau kerana semuanya baik-baik sahaja, tetapi selepas tiga hingga empat bulan, kami terputus hubungan.


"Selepas itu, kami hanya berhubung melalui seorang rakannya dan dia sentiasa meyakinkan bahawa anak kami selamat.


"Kami percaya apa yang dikatakan rakan itu. Selama hampir tiga tahun, semua maklumat datang dimaklumkannya tetapi kami baru sedar sekarang... semuanya tidak benar," katanya pada sidang media Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini.


Pada masa sama, Ng mengakui dia dan keluarga tidak fasih berbahasa Melayu, tidak pandai membaca dan tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan sejak awal.


"Kami tahu dia tiada pasport dan tidak pernah ke luar negara sebelum ini. Jadi kami percaya dia tidak mungkin pergi ke luar negara, tetapi pada Rabu lepas sekitar jam 8 malam, saya menerima mesej daripada anak kami.


"Dia beritahu dia kini berada di Kemboja dan baru melarikan diri daripada sebuah kem. Dia merayu agar saya cari bantuan untuk menyelamatkannya kerana tiada tempat tinggal dan sangat terdesak," jelasnya.


Sementara itu, menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, remaja itu memberitahu aktivis dia dibawa ke Kemboja melalui laluan haram dari Thailand.


"Dia kata dia dibawa dari Thailand ke Kemboja melalui 'lorong tikus'. Remaja itu kini ditempatkan di hotel berhampiran Kedutaan Malaysia di Phnom Penh selepas dibantu aktivis, sementara usaha koordinasi sedang dijalankan bagi memudahkan kepulangannya ke Malaysia.


"Kes ini agak rumit kerana remaja itu tiada rekod masuk atau dokumen perjalanan sah. Terdapat dua isu utama. Dia memasuki Kemboja secara haram dan tiada dokumen.


"Jika dia menyerah diri dalam keadaan itu, denda boleh sangat tinggi atau dia mungkin ditahan," katanya.


Justeru katanya, MHO kini memohon campur tangan Kedutaan Malaysia untuk mendapatkan pengecualian denda dan mengeluarkan dokumen perjalanan kecemasan atau surat keluar bagi membolehkan remaja itu pulang ke Malaysia.


"Jika dia cuba selesaikan sendiri, saya rasa dia tidak berjaya. Dia mungkin berakhir di penjara atau dikenakan denda beribu-ribu ringgit. Bapanya seorang penoreh getah, macam mana mereka nak bayar?" katanya.


NG pada sidang media di Pejabat MHO, Kuala Lumpur. - Foto Harian Metro.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon