Sebanyak RM1.8 juta peruntukan Kerajaan Perak diserahkan kepada sembilan Sekolah Persendirian Cina (SUWA) di sekitar negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata peruntukan berjumlah RM200,000 bagi setiap sekolah itu diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan kesemua sekolah berkenaan dalam pengurusan operasi harian, penyelenggaraan prasarana serta kebajikan warga pendidik dan pelajar.
"Kerajaan Perpaduan Negeri Perak sentiasa komited dalam memastikan semua aliran pendidikan diberikan perhatian yang adil dan saksama.
"Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negeri dan negara, justeru sokongan kepada sekolah SUWA ini selaras dengan prinsip keterangkuman dan keadilan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kor Ming menyerahkan sumbangan itu pada majlis penyerahan peruntukan di Persatuan Hock Kean Perak di Ipoh.
Kesemua sekolah yang menerima peruntukan itu ialah Sekolah Menengah Shen Jai, Sekolah Menengah Yuk Choy (SUWA), Poi Lam High School, Sekolah Tinggi Nan Hwa, Sekolah Menengah Yik Ching, Sekolah Menengah Tsung Wah (Kuala Kangsar), Sekolah Menengah San Min (Teluk Intan), Sekolah Tinggi Hua Lian (Taiping) dan Sekolah Menengah Pei Yuan (Kampar).
Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM524,600 kepada 333 orang pelajar sekolah menengah dan mahasiswa di Sekolah Menengah Kebangsaan San Min, Teluk Intan.
"Sumbangan kasih MADANI ini telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 pelajar pelbagai kaum di Parlimen Teluk Intan sejak 2023," katanya.
Selain itu, beliau berkata bantuan awal persekolahan RM150 bagi setiap pelajar, sumbangan kasih MADANI yang merupakan inisiatif pusat khidmat Ahli Parlimen DAP Teluk Intan tersebut juga disalurkan bagi membantu pelajar mendapatkan buku teks, bahan pembelajaran serta peralatan akademik dengan lebih mudah, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga masing-masing.
Sementara itu, dalam rangka lawatan kerja rasmi itu Kor Ming turut menghadiri sambutan perayaan Ponggal di Kuil Devi Sri Maha Mariamman Ladang Nova Scotia, bersama-sama 200 pelajar India Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Nova Scotia dan penduduk sekitar.
Dalam lawatan kerja yang sama, beliau merasmikan Gelanggang Bola Keranjang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phooi Yong yang menerima peruntukan RM100,000 sebagai usaha menyuntik semangat golongan belia untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.
"Pembangunan modal insan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, malah perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, kesihatan fizikal dan nilai perpaduan. Kemudahan sukan yang kondusif di sekolah akan melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing, sihat dan berdisiplin," katanya.
Turut hadir EXCO kerajaan negeri, Woo Kah Leong dan pegawai penyelaras Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri Changkat Jong Badrul Hisham. - BERNAMA.

EmoticonEmoticon