Jumaat, 20 November 2026

Tiga remaja 'kaki wheelie ekstrem' bakal didakwa, kes pertama di Kelantan


KOTA BHARU - Tiga remaja lelaki berusia 14 tahun bakal menjadi individu pertama di Kelantan yang didakwa di bawah Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) selepas dikesan melakukan aksi ‘wheelie’ dan perlumbaan motosikal secara ekstrem di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa.


Ketiga-tiga remaja itu dikenal pasti sebagai penunggang paling agresif menerusi rakaman risikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan ketika Operasi Khas Motosikal yang dijalankan dari jam 5 hingga 7 petang, Khamis lalu.


Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, tindakan itu merupakan pendekatan baharu penguatkuasaan susulan pindaan APJ 1987 yang berkuat kuasa 16 Oktober lalu.


Menurutnya, Seksyen 42A diperkenalkan bagi membendung kegiatan perlumbaan dan menguji kelajuan secara haram tanpa perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.


Katanya, aksi ‘wheelie’ yang dilakukan ketiga-tiga remaja itu antara bukti perlakuan ekstrem yang membolehkan tindakan di bawah peruntukan berkenaan diambil, selain rakaman risikan yang akan dikemukakan di mahkamah.


Dalam operasi sama, sebanyak 25 motosikal dibawa ke JPJ negeri untuk pemeriksaan lanjut, sekali gus membawa kepada 100 tindakan penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan termasuk berkaitan dokumen dan pengubahsuaian teknikal.


Beliau berkata, hasil risikan mendapati kegiatan berkenaan membabitkan golongan berusia antara 12 hingga 18 tahun dan masih berlaku di beberapa lokasi tumpuan, khususnya pada Rabu dan Khamis sebelum semakin rancak menjelang hujung minggu.


JPJ turut menerima maklumat orang awam berserta gambar yang memaparkan aksi ‘wheelie’, perlumbaan haram dan perkumpulan remaja di lokasi terbabit.


Mengulas hukuman, Mohd Misuari berkata, sabitan pertama di bawah Seksyen 42A memperuntukkan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.


Bagi sabitan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan remaja bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen.


Katanya, lesen bukan sekadar kebenaran menggunakan jalan raya, malah turut membabitkan pendidikan serta latihan berkaitan undang-undang dan keselamatan jalan raya.


EmoticonEmoticon