TAWAU - Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM7,330 berkaitan pembekalan bahan mentah dan kering untuk prasekolah, dua tahun lalu.
Mohd Hussin Mosten, 58, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk meluluskan Pesanan Kerajaan berjumlah RM3,826 kepada Syarikat Syami Enterprise bagi pembekalan bahan mentah dan kering untuk prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kabogan, Semporna, pada 8 Mac 2024.
Bagaimanapun, kerja pembekalan berkenaan didakwa dilaksanakan sendiri oleh tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama dengan meluluskan satu lagi Pesanan Kerajaan berjumlah RM3,504 kepada syarikat berkenaan pada 18 April 2024.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda mengikut nilai suapan atau minimum RM10,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan. Dia turut diperintahkan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Wardah Ishhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 Januari depan untuk pengurusan kes, manakala perbicaraan dijadualkan pada 25 dan 26 Februari.

EmoticonEmoticon