Isnin, 16 November 2026

Wakil warga Afrika tampil mohon maaf susulan insiden polis ditetak


PETALING JAYA - Seorang lelaki warga Afrika tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan tindakan rakannya yang menyerang seorang anggota polis menggunakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan mangsa terputus dalam kejadian di Desa Aman Puri, Kepong, minggu lalu.


Lelaki dikenali sebagai Chibuzo Williams itu menerusi hantaran di Facebook berkata, dia memahami kemarahan dan kekecewaan masyarakat Malaysia terhadap insiden berkenaan.


Beliau turut menzahirkan rasa kesal bagi pihak warga Afrika, selain mendakwa rakannya yang terbabit dalam kejadian itu mempunyai masalah kesihatan tertentu yang dipercayai mempengaruhi tindakannya.


"Bagi pihak warga Afrika, saya dengan ikhlas memohon maaf atas apa yang berlaku. Kami amat kesal dengan tindakannya," katanya.


Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang lelaki bersenjatakan parang ketika menjalankan tugas di Desa Aman Puri pada 11 November lalu.


Mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu mengalami kecederaan sehingga putus pergelangan tangan kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Dalam kejadian sama, suspek turut dilaporkan bertindak agresif terhadap anggota bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ditembak mati oleh polis.


Mangsa kemudiannya menjalani pembedahan oleh dua pakar dari HKL bagi menyambung semula pergelangan tangan kanannya yang terputus.


EmoticonEmoticon