Isnin, 16 November 2026

Kapal tangki rempuh benteng dan kemudahan awam di Lumut, ujian pemanduan dipercayai tanpa kebenaran


LUMUT - Sebuah kapal tangki minyak sepanjang 83 meter dan seberat 2,400 tan metrik yang merempuh laluan pejalan kaki di Esplanade Wing, di sini, dipercayai menjalani ujian pemanduan laut tanpa kebenaran pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kapal yang sebelum ini dikenali sebagai Fuji itu bertukar pemilikan kepada pemilik baharu dari Thailand sebelum didaftarkan semula dengan nama Midas.


Pemeriksaan mendapati terdapat 10 kru warga Thailand berada di atas kapal berkenaan ketika kejadian. Kapal itu kini dalam siasatan Jabatan Laut Malaysia.


Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kapal berkenaan dipercayai keluar pada malam sebelumnya bagi menjalani ujian pemanduan laut atau sea trial tanpa kebenaran pihak berkuasa berkaitan.


"Sebarang tindakan dan peruntukan undang-undang yang akan digunakan bergantung kepada hasil siasatan Jabatan Laut berikutan kapal berkenaan dipercayai digerakkan tanpa kebenaran," katanya ketika sidang media di lokasi kejadian.


Insiden itu sebelum ini tular di media sosial selepas kapal berkenaan dilihat merempuh benteng di kawasan pesisir pantai sehingga mengakibatkan kerosakan pada struktur laluan pejalan kaki serta beberapa kemudahan awam berhampiran.


Hasbullah berkata, punca sebenar kejadian termasuk faktor yang menyebabkan kapal terbabit melanggar tebing masih dalam siasatan, manakala kerosakan infrastruktur akan dinilai oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM).


Dalam perkembangan sama, Jabatan Laut Malaysia akan mengalihkan kapal berkenaan ke tengah laut menggunakan kaedah penundaan apabila keadaan air pasang.


Langkah itu perlu mengambil kira keadaan air yang cetek ketika kejadian. Kapal berkenaan akan ditunda dan dilabuhkan di tengah laut sementara siasatan diteruskan.


EmoticonEmoticon