Isnin, 16 November 2026

Tekong darat warga Thailand cuba serang polis dengan sabit, 12 PATI turut dicekup


PASIR MAS - Seorang lelaki warga Thailand dipercayai tekong darat ditahan selepas mengugut anggota polis menggunakan sabit dalam operasi membanteras penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah ladang kelapa sawit di Kubang Gadong, di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.


Lelaki berusia 29 tahun itu antara 13 individu yang ditahan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi berkenaan.


Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas mengesan sekumpulan individu mencurigakan sebelum dua lelaki dipercayai tekong darat menghampiri mereka dengan membawa parang dan sabit.


Menurutnya, anggota keselamatan terpaksa mengacukan senjata api bagi mempertahankan diri sehingga menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri.


Susulan tindakan itu, anggota PGA mengejar mereka sebelum berjaya menahan seorang suspek yang bersenjatakan sabit.


Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penahanan 12 warga Myanmar terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.


Siasatan awal mendapati suspek warga Thailand itu menerima bayaran RM100 bagi setiap PATI yang dibawa masuk dari Thailand melalui Sungai Golok sebelum diserahkan kepada kumpulan pengangkut di Kampung Bakong.


Setiap PATI dipercayai dikenakan bayaran sehingga RM5,000 untuk memasuki Malaysia secara haram, dengan pembayaran hanya perlu dibuat selepas berjaya memasuki negara ini dan memperoleh pekerjaan.


Kesemua 13 individu bersama barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon