KUALA LUMPUR - Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 17 individu yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Ekstrem Lumba Haram di sekitar ibu negara, awal pagi hari ini.
Remaja lelaki Tingkatan Lima dari sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya itu ditahan selepas dikesan melakukan aksi wheelie atau mengangkat tayar hadapan motosikal ketika menunggang di jalan raya.
Lebih mengejutkan, remaja berkenaan mengakui melakukan aksi berbahaya itu sekadar suka-suka dan mendakwa tidak menyedari dirinya sedang diperhatikan anggota penguat kuasa JPJ.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi yang bermula sejak malam sebelumnya dan berakhir kira-kira jam 4.30 pagi itu dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Menurutnya, daripada 17 individu yang ditahan, lapan disiasat mengikut Seksyen 42A(1) dan 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala sembilan lagi membabitkan kesalahan pengubahsuaian motosikal secara ekstrem.
Kesemua individu terbabit dibawa ke Jalan Sultan Ismail untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut. Dalam operasi sama, sebanyak 1,387 motosikal turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan.
Aedy Fadly berkata, operasi itu merupakan langkah proaktif JPJ bagi membanteras kegiatan pemanduan berisiko tinggi yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
Beliau menjelaskan, Seksyen 42A yang berkuat kuasa mulai 16 Oktober memperuntukkan kesalahan khusus bagi aktiviti berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya, sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
Orang awam yang mempunyai rakaman perlumbaan haram atau aksi menguji kelajuan boleh menyalurkan aduan melalui aplikasi MyJPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my. Bagaimanapun, pengadu perlu bersedia dipanggil bagi membantu siasatan, katanya.

EmoticonEmoticon